Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Tempahan bagi khidmat pembersihan melonjak sedang lebih ramai pekerja kembali ke pejabat

Sehari setelah diumumkan bahawa lebih ramai pekerja di Singapura akan dibenarkan kembali ke tempat kerja mulai 5 April, syarikat Clean Lab dengan serta-merta menerima tempahan bagi mendapatkan khidmatnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempahan bagi khidmat pembersihan melonjak sedang lebih ramai pekerja kembali ke pejabat

(Gambar: CleanLab)

Diterbitkan : 12 Apr 2021 02:42PM Dikemas Kini : 12 Apr 2021 02:55PM

SINGAPURA: Sehari setelah diumumkan bahawa lebih ramai pekerja di Singapura akan dibenarkan kembali ke tempat kerja mulai 5 April, syarikat Clean Lab dengan serta-merta menerima tempahan bagi mendapatkan khidmatnya.

Ia bukan satu-satunya tempahan yang diterimanya, dan tidak lama kemudian, syarikat pembersihan dan pembasmian kuman itu menerima tempahan buat dua minggu seterusnya.

Selain khidmat pembersihan dan pembasmian kuman, semakin banyak syarikat turut mendapatkan bantuan profesional yang boleh melakukan kerja-kerja pembersihan dan penyenggaraan dengan kerap.

"Beberapa syarikat sebelum ini menggunakan pekerja pembersihan biasa di pejabat mereka setiap hari tetapi sepanjang pandemik tahun lalu dengan semua orang bekerja dari rumah, mereka menghentikan perkhidmatan ini. Sekarang, kerana lebih ramai orang akan kembali ke pejabat, syarikat mahu menggajikan semula pekerja pembersihan harian,” kata pengurus pembangunan perniagaan CleanLab, Cik Serene Chang.

Secara keseluruhannya, Clean Lab menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus bagi tempahan untuk mendapatkan perkhidmatannya sejak pengumuman pada 24 Mac, ketika syarikat-syarikat cuba membuat penyesuaian dengan pelonggaran langkah-langkah COVID-19 yang membolehkan sehingga 75 peratus pekerja kembali ke pejabat.

Satu lagi penyedia khidmat pembersihan, Nimbus, juga melaporkan lonjakan sebanyak 20 peratus pada tempahan khidmatnya.

Sejauh ini, firma tersebut menyediakan khidmat pembasmian kuman yang termasuk khidmat menyemburkan kabus pembasmi kuman dan pembersihan menyeluruh bagi semua peralatan pejabat.

Nimbus juga menjangkakan lebih banyak tempahan untuk kerja-kerja pembersihan sedang lebih banyak syarikat kini "menitikberatkan kebersihan", kata ketua eksekutif dan pengasas Nimbus Daniel Thong.

TIDAK SEMUA CATAT TEMPAHAN YANG MELONJAK

Sungguhpun demikian, terdapat beberapa penyedia khidmat pembersihan yang belum menyaksikan sebarang reaksi daripada pelanggan mereka.

Menurut Conrad Maintenance, kebanyakan syarikat yang menggunakan khidmatnya tidak terburu-buru untuk mendapatkan lebih banyak pekerja di pejabat dan lebih cenderung "menunggu dan melihat lagi satu dua bulan."

Bagaimanapun, pihaknya tidak terlalu bimbang jika terlepas durian runtuh ini, kata pengarah urusan Raymond Ng kepada Mediacorp.

Ini kerana syarikat tersebut, seperti banyak syarikat lain dalam industri pembersihan, sebelum ini menyaksikan peningkatan pada jumlah kerja sepanjang setahun yang lalu di tengah-tengah pandemik koronavirus.

Sebagai contoh, permukaan yang kerap disentuh perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari, sementara beberapa syarikat meminta agar kawalan pembasmian kuman dinaikkan dari sebulan sekali menjadi sekerap dua kali seminggu.

CABARAN KEKURANGAN KAKITANGAN

Akibat permintaan lebih tinggi itu, Encik Ng dan para pekerjanya bekerja untuk waktu lebih panjang. Beliau sudah cuba menawarkan gaji lebih tinggi untuk mendapatkan pekerja pembersihan baru tetapi gagal kerana penduduk tempatan masih menjauhi industri ini.

"Kami menghadapi masalah tenaga kerja yang sangat serius, mungkin yang terburuk sejak saya memulakan perniagaan 18 tahun yang lalu," kongsi Encik Ng, sambil menambah bahawa masalah kekurangan tenaga kerja sudah lama beliau alami. Untuk mengatasinya, syarikatnya memutuskan untuk hanya menumpukan kepada pembersihan pejabat perindustrian dan komersial lima tahun lalu.

CKS General Services, yang mengendalikan CleanOne, juga bergelut dengan isu kekurangan pekerja, terutamanya memandangkan lebih separuh tenaga kerjanya membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia sejak tahun lalu.

"Oleh itu, kami cuba mengambil pekerja tempatan. Kami telah menerbitkan iklan kerja kosong yang menawarkan S$1,800 hingga S$2,300 sejak enam hingga sembilan bulan lalu tetapi tiada seorang pun yang mahu menjadi pekerja pembersihan," kata eksekutif kanan penjualan Joelle Een.

Syarikat lain pula cuba memanfaatkan teknologi untuk mengatasi masalah ini. Clean Lab misalnya menggunakan mesin khas untuk menyembur kabus pembasmi kuman.

"Ia akan memastikan pembasmian kuman yang sangat terperinci dan menjadikan pekerjaan lebih efektif bagi para pekerja kami," kata Cik Chang. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan