Images
  • trump xi
    Presiden AS Donald Trump bertemu Presiden China Xi Jinping sebelum mesyuarat dua pihak di luar acara Sidang Puncak G20 di Osaka pada 29 Jun 2019. (Gambar: Brendan Smialowski/AFP).

Tekanan dagangan AS cegah tindakan lebih keras China terhadap Hong Kong, dakwa Trump

WASHINGTON: Tekanan ekonomi Amerika Syarikat ke atas China mencegah pihak berkuasa daripada melaksanakan tindakan lebih keras terhadap para penunjuk perasaan di Hong Kong, kata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kepada para wartawan pada Jumaat (30 Ogos).

"Apa yang saya lakukan dengan perdagangan itu telah menurunkan suhu," katanya di Rumah Putih.

Pendirian tegas Encik Trump - serta dakwaan bahawa kejadian di Hong Kong bersangkut paut dengan perang dagangan, menyusuli dakwaan beliau minggu lalu bahawa para perunding China semakin berminat untuk mencapai kesepakatan.

Namun, meskipun terdapat petunjuk bahawa perhubungan peringkat tinggi disambung semula berhubung kebuntuan tersebut, para pegawai Rumah Putih mencetuskan keraguan kerana gagal menyediakan perincian mengenai rundingan-rundingan yang dilaporkan.

Ulasan Encik Trump mengenai Hong Kong mungkin dianggap tidak sensitif oleh China yang akan bertindak balas terhadap apa sahaja yang dilihat sebagai campur tangan asing berhubung Hong Kong.

Ditanya sama ada beliau melihat kaitan antara cara China bertindak balas terhadap pergolakan di Hong Kong dengan kesulitan ekonomi yang dihadapinya akibat tekanan Amerika Syarikat, Encik Trump berkata: "Sudah tentu, sudah tentu."

"Jika bukan kerana rundingan dagang, Hong Kong akan menghadapi lebih banyak cabaran," katanya, sambil mengulangi seruan kepada Beijing untuk "mengendalikannya dengan cara yang berperikemanusiaan."

Presiden Trump juga mengesahkan bahawa tarif tinggi baru terhadap barang-barang import dari China akan berkuatkuasa mulai Ahad.

"Ia akan diteruskan," kata Encik Trump, dua hari sebelum levi ke atas barangan import China bernilai berbilion dolar dijangka meningkat, di tengah-tengah pertikaian dagangan yang semakin memuncak antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

- AFP/TQ/tq

Top