Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Teh Assam paling mahal di dunia

Sejenis teh hitam yang sukar didapati dijual pada harga rekod, dalam satu jualan lelong di India, sekaligus menjadi petanda permintaan bagi teh-teh istimewa kian meningkat walaupun industri itu sedang berdepan dengan krisis.

Anggaran Waktu Membaca:
Teh Assam paling mahal di dunia

(Gambar fail: Ian Wagg/Unsplash)

Diterbitkan : 03 Aug 2019 03:21PM Dikemas Kini : 03 Aug 2019 03:24PM

GUWAHATI: Sejenis teh hitam yang sukar didapati dijual pada harga rekod, dalam satu jualan lelong di India, sekaligus menjadi petanda permintaan bagi teh-teh istimewa kian meningkat walaupun industri itu sedang berdepan dengan krisis.

Dua kilogram teh 'Maijan Orthodox Golden' dijual pada harga 141,002 rupee (S$2,800) pada Rabu (31 Ogos).

Seorang pedagang asal Belgium membeli teh itu menerusi seorang ejen tempatan, menurut seorang pegawai lelong.

Setiausaha Pusat Lelong Teh Guwahati, Dinesh Bahani berkata, teh itu dijual pada harga rekod dan mengatasi harga yang dibayar untuk teh 'Manohari Golden' sebanyak 50,000 rupee (S$1,000) sekilo, pada hari sebelumnya.

Para pembeli dari Jerman, Britain, Amerika Syarikat dan Iran aktif dalam pasaran teh hitam dan harga lebih tinggi itu dipercayai dibayar dalam penjualan-penjualan privet.

'Majian Orthodox' berasal dari belukar-belukar berusia 100 tahun di ladang-ladang milik Assam Company India Limited, salah satu perusahaan teh terbesar di dunia.

Perniagaan syarikat itu kembali rancak selepas diisytiharkan muflis pada tahun lalu lalu diambil alih hartawan India B. R. Shetty.

"Kaya dengan aroma, 'Maijan Golden' menawarkan pengalaman yang unik dan eksotik," kata pengarah Syarikat Assam India, Sanjay Jain kepada AFP.

Pengeluaran bagaimanapun satu "proses rumit", tambahnya.

"Kudup bunga yang dipetik pada hari-hari tertentu, bergantung kepada keadaan cuaca, digulung menggunakan tangan dan dikeringkan di bawah matahari.

"Seluruh prosesnya alami dan tiada mesin digunakan," kata Encik Jain.

Beliau berkata, hanya 35 kilo teh yang dihasilkan pada tahun ini dan dua kilo ditawarkan di acara lelong minggu ini.

"Kami sangat gembira dengan harga rekod itu. Ia menunjukkan bahawa ada permintaan bagi teh-teh bermutu dan ia satu berita baik bagi industri teh di Assam," katanya.

Syarikat Assam India mempunyai 14 kebun di merata timur laut negara dan menghasilkan lebih 10 juta kilo teh hitam dan jenis teh lain setiap tahun.

Walaupun teh 'Maijan Orthodox' dan teh istimewa lain yang sukar didapati dari rantau itu kian mendapat permintaan, Persatuan Teh India (ITA) menyatakan ia telah meminta pemerintah pusat dan negara untuk mengekalkan harga tinggi bagi produk-produk biasa juga.

Ia ingin pihak berkuasa mengharamkan perluasan penghasilan teh di sekurang-kurangnya lima kawasan utama.

Persatuan itu membayar untuk iklan-iklan akhbar yang menyatakan, industri teh yang menggajikan sejuta orang sedang menghadapi krisis.

"Walaupun harga purata kekal tidak berubah, kos pengeluaran secara purata terus meningkat sehingga kebun-kebun mengalami kerugian," menurut rayuan yang dikemukakan.

ITA juga meminta dana awam untuk memasarkan teh India dan untuk menetapkan harga minumum di acara lelong, berdasarkan kos pengeluaran.

Teh hitam membentuk lebih separuh pengeluaran teh India, dengan lebih 650 juta kilo dihasilkan dari 850 kebun teh negara.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan