Tawaran 56 sen sesaham bagi Challenger 'muktamad'; penasihat bebas sifatkan 'wajar'
Meskipun tidak disambut baik sesetengah pemegang saham minoriti, tawaran tunai Digileap Capital sebanyak S$0.56 sesaham untuk Challenger Technologies keluar dari SGX adalah "muktamad", menurut satu kenyataan yang difailkan ke bursa oleh syarikat barangan elektronik tempatan itu pada Rabu (12 Jun).
SINGAPURA: Meskipun tidak disambut baik sesetengah pemegang saham minoriti, tawaran tunai Digileap Capital sebanyak S$0.56 sesaham untuk syarikat Challenger Technologies keluar dari bursa utama adalah "muktamad" dan tidak akan dikaji semula. Demikian menurut satu kenyataan yang difailkan ke bursa oleh syarikat barangan elektronik tempatan itu pada Rabu (12 Jun).
Makluman bahawa ia keluar dari senarai Bursa Singapura (SGX) itu disertakan dengan surat dari penasihat kewangan bebas Deloitte & Touche Corporate Finance, yang menyifatkan syarat tawaran itu sebagai "adil dan wajar".
Challenger, jenama terkenal setempat bagi barangan IT yang mempunyai 38 cawangan di Singapura, menyatakan pada 20 Mac bahawa pihaknya ingin keluar dari senarai SGX selepas Digileap Capital membuat tawaran tunai keluar pasaran sebanyak S$0.56 sesaham bagi kesemua sahamnya.
Menurut Challenger, nilai yang ditawarkan menjangkaui harga tertinggi di akhir perdagangan sejak 9 Mei 2014. Ia juga 5.7 peratus lebih tinggi berbanding harga S$0.53 sesaham pada dagangan terakhir.
Namun tawaran itu dikritik pemegang saham minoriti Pangolin Investment Management sebagai "terlalu rendah".
Menurut satu kenyataan oleh syarikat pengurus dana itu, Challenger "sepatutnya dinilai berdasarkan pengaliran tunai kepada pemegang saham".
"Kami berpendapat nilai wajar bagi saham adalah sekurang-kurangnya S$1.025 berdasarkan dividen berulang setahun, serta pulangan sekali bernilai S$0.125 jika Challenger mengagihkan lebihan wang tunai dari penyata kedudukan kewangan menerusi dividen khas."
Challenger menegaskan pada Rabu langkahnya untuk tidak lagi disenarai di bursa akan memberikan kelonggaran untuk menguruskan perniagaan, menggunakan sumber dengan sebaiknya dan melaksanakan perubahan operasi tanpa kos tambahan, sekatan kawal selia dan isu pematuhan sebuah syarikat tersenarai.
EGM DIADAKAN PADA 27 JUN
Awal bulan ini SGX menyatakan pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap keputusan Challenger untuk keluar dari senarai bursa, tertakluk kepada undang-undang penyenaraian.
Challenger kini perlu mendapatkan persetujuan para pemegang sahamnya dalam satu perhimpunan agung luar biasa (EGM) pada 27 Jun, 10.00 pagi.
Ia perlu mendapatkan undian persetujuan sekurang-kurangnya 75 peratus dan tidak boleh mendapat undian bantahan lebih daripada 10 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.