Images
  • portal
    Portal laman pekerjaan MyCareersFuture.sg. (Gambar: Fann Sim) 

Tambahan 12,000 kerja kosong ditawarkan di portal MyCareersFuture pada 2019

SINGAPURA: Portal MyCareersFuture yang diterajui Pemerintah akan menokok lagi 12,000 kerja kosong bagi pemohon kerja tempatan tahun ini. Menurut Workforce Singapore (WSG) pada Jumaat (4 Jan), senarai tambahan ini menyusuli Memorandum Persefahaman yang dimeterai antara portal berkenaan dengan laman pekerjaan antarabangsa Indeed.

Jumlah kerja kosong itu akan memperluaskan bilangan pekerjaan sebanyak 23,000 yang sedia ada, menjadikannya lebih 35,000 setiap bulan merangkumi 23 industri, menurut WSG lagi.

MyCareersFuture, yang dilancarkan pada April bagi menggantikan Portal Pekerjaan Nasional (Jobs Bank), berjaya menarik lebih 500,000 pengunjung yang mencari peluang pekerjaan dan keperluan kerjaya. Sejak pelancarannya, laman berkenaan sudah bekerjasama dengan Google, JobsCentral, Jooble dan LinkedIn untuk menyenaraikan kerja kosong yang ditawarkan melalui wadah-wadah tersebut.

Laman tersebut bagaimanapun hanya disediakan untuk para pemohon kerja. Para majikan pula perlu terus memanfaatkan laman Portal Pekerjaan Nasional untuk menyenaraikan jawatan kosong.

WSG dijangka akan melancarkan modul majikan pada separuh pertama tahun ini. Lebih banyak butiran akan didedahkan pada satu tarikh yang bakal diumumkan.

Bagi pihak majikan, WSG melantik syarikat WCC dari Belanda untuk menyediakan khidmat pengkadaran dan rujukan. Teknologi tersebut akan membantu menjimatkan masa para majikan mengenal pasti pemohon kerja dan calon yang sesuai, lantas mengurangkan masalah tidak sepadan dengan kerja kosong yang ditawarkan, menurut WSG.

MyCareersFuture juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat pemula teknologi tempatan seperti JobTech untuk mengenal pasti teknologi pemadanan kemahiran yang lebih canggih bagi para individu. Sebagai contoh, portal tersebut turut dilengkapi dengan ciri-ciri yang berupaya menunjukkan markah dari segi pemadangan kemahiran antara pemohon kerja dengan kerja yang ditawarkan.

Kerjasama tersebut juga mengupayakan penganalisisan pekerjaan yang tidak sepadan dan pemadanan yang tidak sesuai dalam sektor-sektor pertumbuhan utama seperti pembankan dan kewangan serta teknologi dan infokom, menurut WSG.

Pemohon kerja dan majikan juga boleh memanfaatkan nasihat kerjaya, maklumat industri dan sumber pekerjaan menerusi Career Toolkit. Ia merangkumi kandungan yang dijana menerusi kerjasama antara sektor awam dan privet seperti Kementerian Kesihatan, Lembaga Kemajuan Ekonomi dan agensi perekrutan Randstad dan Michael Page.

"Menerusi kerjasama antara sektor awam dan privet, ia mengupayakan kami untuk meneroka huraian inovatif bagi menangani keperluan pemohon kerja dan majikan, dan merapatkan jurang dengan menghubungkan mereka dengan cara yang lebih berkesan," kata ketua eksekutif WSG Tan Choon Shian.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kerja kami dan pada masa yang sama meneroka peluang kerjasama baru untuk menjadikan MyCareersFuture.sg satu portal sehenti yang menyediakan khidmat pemadanan kerja yang diyakini dan maklumat di hujung jari bagi rakyat Singapura."

- CNA/TQ/ai

Top