Images
  • hello kitty
    Hari terakhir operasi bagi Sanrio Hello Kitty Town adalah 31 Disember 2019. (Gambar: Visit Johor/Facebook)

Taman tema Hello Kitty Johor akan ditutup

JOHOR BAHRU: Taman tema Sanrio Hello Kitty Town di Johor bakal ditutup pada 1 Januari depan namun ini kemungkinan tidak akan mempunyai kesan besar ke atas ketibaan pelancong ke negeri tersebut. Demikian kata Cik Liow Cai Tung, pengerusi jawatankuasa bertanggungjawab ke atas pembangunan pelancongan, wanita, keluarga dan masyarakat.

"Saya yakin ia (penutupan itu) akan hanya membawa kesan kecil kepada kempen Melawat Johor Tahun 2020 (bermula pada 1 Januari) dan tidak akan menjejas keseluruhan ketibaan pelancong ke negeri itu," kata Cik Liow seperti ditukil oleh Malay Mail pada Rabu (2 Okt).

"Kerajaan negeri tidak bergantung kepada satu jenis produk pelancongan," tambah beliau.

Cik Liow memberikan respons itu terhadap laporan bahawa jumlah pelancong keseluruhan di negeri tersebut mungkin merosot selepas taman tema tertutup yang terletak di Puteri Harbour itu tamat beroperasi.

Beliau juga berkata Johor mempunyai destinasi baru lain yang dirancang termasuk kawasan Pantai Desaru.

"Selain itu, Johor juga sedang mempromosikan pelancongan eko serta pelancongan berasaskan alam semula jadi dan pelancongan perubatan."

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor berkenaan berkata keputusan untuk menghentikan operasi dibuat oleh sebuah syarikat swasta dan kerajaan negeri menghormati keputusan tersebut.

"Saya faham bahawa taman tema itu akan ditutup kerana mendapat kurang sambutan sepanjang beberapa tahun lalu," kata Cik Liow seperti ditukil Malay Mail.

Taman tema bernilai RM110 juta (S$36 juta) membuka pintunya kepada umum pada 2012 namun berdepan cabaran untuk menarik pelawat.

Sementara itu, sebelum ini terdapat laporan bahawa dana pelaburan negara Malaysia, Khazanah sedang mempertimbangkan untuk menjual Legoland pertama di Asia yang terletak di Johor. 

- CNA/FZ/fz

Top