Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Syarikat S'pura tidak cukup melabur dalam latihan pekerja: Tinjauan SBF

Meskipun berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja, syarikat-syarikat di sini masih tidak memberi perhatian dan menyediakan sumber mencukupi untuk melatih para pekerja. Ini menurut hasil satu tinjauan tahunan yang dikeluarkan hari ini (17 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Jan 2019 05:37PM Dikemas Kini : 17 Jan 2019 10:06PM

SINGAPURA: Meskipun berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja, syarikat-syarikat di sini masih tidak memberi perhatian dan menyediakan sumber mencukupi untuk melatih para pekerja. Ini menurut hasil satu tinjauan tahunan yang dikeluarkan hari ini (17 Jan).

Hanya 12 peratus syarikat membuat pelaburan dalam latihan lebih baik bagi para pekerja mereka pada 2018, menurut Tinjauan Perniagaan Nasional terbaru oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF). Tinjauan itu melibatkan lebih 700 syarikat meliputi semua industri utama antara 19 September hingga 7 Disember 2018.

Sepanjang tahun lalu, cabaran tenaga manusia kekal membelenggu syarikat-syarikat, dengan kos buruh yang kian meningkat menjadi cabaran utama dihadapi separuh syarikat ditinjau.

Di tengah-tengah usaha untuk menggalak inovasi, mencari pekerja dengan kepakaran teknologi yang relevan juga adalah satu keprihatinan bagi 41 peratus syarikat, manakala 29 peratus syarikat pula bimbang tentang cabaran melatih semula para pekerja mereka dalam keupayaan digital.

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) kurang cenderung untuk membuat pelaburan dalam latihan, menurut Ketua Eksekutif SBF Ho Meng Kit. Ini mungkin kerana para pemilik SME menjangkakan keuntungan lebih rendah.

Encik Ho juga berkata, syarikat-syarikat tidak begitu menumpukan perhatian kepada usaha melatih para eksekutif peringkat C.

Pelaburan yang "teruk" dalam latihan menggambarkan keperluan satu perubahan minda di kalangan para majikan, tambah Encik David Black, Pengarah Urusan Blackbox Research, yang bekerjasama dengan SBF untuk menjalankan tinjauan ini.

"Anda perlu menukar minda dan memahami bahawa latihan itu adalah sesuatu yang akan memberi manfaat bagi tempoh jangka panjang. Anda juga mempunyai keperluan jangka pendek yang harus ditangani, dengan pendekatan latihan dipercepat sebagai salah satu huraiannya."

Bagi menangani cabaran-cabaran buruh pula, hasil tinjauan SBF menunjukkan bahawa 36 peratus syarikat menggunakan Pelan Transformasi Industri (ITM) Pemerintah sebagai panduan untuk mencari cara-cara memenuhi keperluan tenaga manusia dan bakat dengan lebih baik.

Namun, syarikat-syarikat mempunyai jangkaan yang berbeza-beza mengenai bagaimana mereka boleh meraih manfaat daripada ITM tersebut.

Misalnya, syarikat-syarikat besar percaya bahawa rancangan industri boleh membantu mereka menjadi lebih cekap dan produktif menerusi penggunaan teknologi, serta mempertingkatkan model perniagaan mereka.

Matlamat itu bagaimanapun bukan keutamaan penting bagi SME, yang melihat ITM sebagai membantu mereka memanfaatkan skim dan geran yang rumit berhubung perubahan perniagaan.

Merujuk kepada tinjauan SBF sebelum ini yang menunjukkan sejumlah besar syarikat yang tidak begitu tahu tentang ITM, Encik Black berkata bahawa tahap kesedaran syarikat-syarikat "semakin kukuh" berdasarkan hasil tinjauan terbaru ini. Namun, SME masih lagi ketinggalan di belakang berbanding syarikat-syarikat besar kerana mereka menganggap ITM sebagai "samar-samar atau agak bersifat umum".

Ini menyokong sentimen para pemimpin industri, yang semasa perbincangan pra-Belanjawan minggu lalu, menggesa agar lebih banyak usaha dilakukan bagi membantu SME memahami rancangan-rancangan yang bermatlamat merubah ekonomi Singapura.

HARAPAN BELANJAWAN

Tinjauan tahunan itu juga mendapati bahawa 63 peratus syarikat berharap agar Belanjawan Singapura 2019 yang bakal disampaikan akan menawarkan lebih banyak bantuan bagi mengakses teknologi baru dan penting.

Syarikat-syarikat melahirkan harapan itu sedang mereka terus berusaha untuk menerapkan inovasi dengan sekitar dua-perlima responden mengutamakan pembangunan keupayaan digital pada 2019, manakala 33 peratus akan menyemak semula model perniagaan masing-masing.

Sementara itu, para pemilik syarikat juga berharap untuk semakan-semakan ke atas kuota para pekerja warga asing (53%), lebih sokongan bagi penggunaan dan perubahan digital (45%), levi pekerja warga asing (45%), serta kos pematuhan dan yuran kawal selia yang lebih rendah (42%).

Secara keseluruhannya, sentimen perniagaan kekal neutral sedang hampir separuh daripada syarikat yang ditinjau menjangkakan keadaan ekonomi tempatan tidak akan berubah pada tahun ini.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan mendadak dalam kalangan syarikat yang meramalkan keadaan akan menjadi bertambah buruk, iaitu dari 21 peratus pada 2017 kepada 38 peratus tahun lalu.

Keprihatinan utama termasuk kadar faedah yang kian meningkat (65%) dan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China (61%).

Ditanya sama ada syarikat-syarikat Singapura mempunyai keprihatinan mengenai keadaan tidak menentu yang dicetuskan oleh tindakan Britain keluar dari Kesatuan Eropah, Pengerusi SBF Teo SS berkata: "Brexit dijangka pada Mac, namun buat masa ini masih lagi tiada sebarang huraian," katanya. "Ahli niaga yang membuat pelaburan di Britain prihatin mengenai hala tuju negara itu."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan