Images

Syarikat S'pura di Australia yakin VTL akan bantu percepat pengembangan niaga

SINGAPURA: Syarikat-syarikat Singapura di Australia yakin skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) antara kedua-dua negara yang bermula sejak Ahad lalu (21 Nov) akan mempercepatkan lagi pengembangan perniagaan masing-masing.

Tahun ini, banyak syarikat Singapura menyahut cabaran untuk mengembangkan perniagaan di Australia semasa pandemik.

Setakat ini, dua syarikat pemula sudah bercadang hendak menghantar lebih ramai pekerja ke Australia.

Selepas enam perintah berkurung sepanjang dua tahun, keadaan di Melbourne kembali seperti biasa.

Pakai pelitup tidak lagi diwajibkan dan penduduknya dibenarkan berkumpul.

Platform kongsi kereta Singapura, Drive Lah mengambil peluang ini untuk mengembangkan sayap ke luar negara buat pertama kalinya di Australia.

Platform yang membenarkan pengguna mereka menyewa kereta itu sudah mempunyai 60 kereta dan bercadang untuk menambahnya kepada 2,000 kereta tahun depan.

Australia juga sudah melonggarkan kawalan sempadan dengan Singapura dan rakyat Singapura tidak lagi perlu menjalani kuarantin apabila tiba di sana.

Ini membantu Drive Lah menghantar juruelektrik dari Singapura yang lebih berpengalaman jika platformnya menghadapi masalah perkakasan komputer.

Syarikat Homage, juga merancang untuk menghantar lebih ramai pengurus ke Australia untuk berurusan dengan hospital-hospital dan agensi-agensi kesihatan di sana.

Syarikat tersebut memadankan penjaga bebas dengan pelanggan yang sesuai melalui aplikasi yang sudah dilancarkan di Australia sekitar dua bulan lalu.

Jurucakap Homage berkata Australia mempunyai potensi, setelah mencatatkan rekod $17.4 bilion untuk pakej penjagaan warga tua, termasuk $6.4 bilion untuk penjagaan di rumah.  

- CNA/NY/RU/tq

Top