Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Syarikat merata dunia berminat beli kepentingan Malaysia Airlines

Beberapa syarikat dari merata dunia termasuk dari Eropah, Asia dan Timur Tengah berminat untuk membeli kepentingan dalam Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Malaysia, Daim Zainuddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat merata dunia berminat beli kepentingan Malaysia Airlines

Gambar fail logo Malaysia Airlines. (Gambar: Greg Wood/AFP)

Diterbitkan : 26 Mar 2019 09:07AM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 09:08AM

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat dari merata dunia termasuk dari Eropah, Asia dan Timur Tengah berminat untuk membeli kepentingan dalam Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Malaysia, Daim Zainuddin.

Beliau berkata, syarikat-syarikat itu tidak semestinya mengambil alih keseluruhan syarikat tetapi mungkin hanya sebahagian kepentingan syarikat penerbangan nasional tersebut, yang kini 100 peratus milik Khazanah Nasional Bhd.

"Alhamdulillah, ramai yang memilih untuk membeli saham MAB, sama ada orang Asia, Eropah dan Timur Tengah. Mereka telah menyatakan hasrat tersebut kepada kerajaan dan ada juga yang menulis surat kepada saya.

"Mereka (pihak yang berminat untuk membeli) boleh membuat kajian mengenai syarikat tersebut (MAB)," katanya pada Isnin (25 Mac).

Encik Daim menjelaskan sektor penerbangan kini semakin rumit, memandangkan dana besar dan tenaga kepakaran amat penting.

Oleh demikian, jika sebahagian kepentingan MAB dijual kepada firma luar, ia akan mendapat suntikan dana dan kepakaran, dan secara tidak langsung akan memulihkan syarikat.

"Tiada salahnya jika orang lain nak beli saham kita. Tidak menjadi masalah, sekiranya mereka mahu membawa masuk kepakaran," katanya.

Encik Daim juga berkata kerajaan tidak seharusnya mencampuri urusan operasi syarikat penerbangan nasional itu, tetapi sebaliknya cukup sekadar menyokong melalui membantu mendapatkan hak pendaratan di lokasi strategik.

Beliau, bagaimanapun, berpendapat bahawa tiada keperluan untuk meneliti semula cadangan penggabungan Malaysia Airlines dengan AirAsia sebagaimana yang pernah diperkatakan sebelum ini.

"Malaysia Airlines adalah (syarikat) premium, dan AirAsia adalah syarikat tambang rendah, jadi lebih baik mereka bersaing... seterusnya memberi nilai lebih baik," katanya.

Encik Daim turut menegaskan bahawa masa depan dan kebajikan kakitangan MAB perlu dikekalkan walau apa pun keputusan kerajaan, kerana golongan itu akan membawa syarikat keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan