Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Syarikat katering jangka pemulihan lembab; terpaksa pelbagaikan khidmat demi jamin penakatan

Setelah pendapatan mereka merosot selama lebih setahun, syarikat-syarikat katering yang terjejas oleh pandemik COVID-19 menjangkakan industri mereka akan melalui proses pemulihan yang panjang dan perlahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat katering jangka pemulihan lembab; terpaksa pelbagaikan khidmat demi jamin penakatan

(Gambar: Rasel Catering)

Diterbitkan : 12 Jul 2021 09:10AM Dikemas Kini : 12 Jul 2021 02:18PM

SINGAPURA: Setelah pendapatan mereka merosot selama lebih setahun, syarikat-syarikat katering yang terjejas oleh pandemik COVID-19 menjangkakan industri mereka akan melalui proses pemulihan yang panjang dan perlahan.

Ini sedang acara-acara seperti majlis keramaian, majlis tamat pengajian dan majlis jamuan malam anjuran syarikat terus dibatalkan, ditunda atau dikurangkan jumlah tetamu, sejajar dengan protokol keselamatan yang menghadkan jumlah peserta dan tetamu.

Demi terus bertakat, ramai yang mula menawarkan menu hidangan bagi majlis dengan skala lebih kecil, makanan siap untuk dihidang dan jenama maya yang baru. Sungguhpun demikian, sesetengah syarikat mendapati bahawa mereka perlu bersaing dengan syarikat-syarikat lebih kecil dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

"Kami adalah pihak yang terjejas teruk semasa pandemik ini kerana sebagai katerer, kekuatan kami adalah dalam penganjuran acara atau majlis jamuan beramai-ramai pada skala lebih besar," kata pemilik bersama dan pengarah kreatif Rasel Catering, Chris Loh.

"Namun buat masa ini, kami menerima tempahan kecil yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam sektor F&B jadi kami perlu bersaing dengan restoran, perniagaan dari rumah, para penjaja dan juga wadah penghantaran. Ia adalah pasaran dengan persaingan sengit dan faktor pelaris unik kami tidak lagi wujud."

"BENAR-BENAR TERJEJAS"

Syarikat-syarikat katering bukanlah satu-satunya industri yang terjejas oleh pandemik namun mereka kelihatan akan tergolong dalam kalangan mereka yang terjejas teruk dalam sektor F&B jika penjualan runcit tidak mendapat sambutan.

Sejak awal tahun lalu, pendapatan syarikat-syarikat katering merosot antara 30 peratus hingga hampir 80 peratus. Data terkini dari Mei menunjukkan hasil penjualan merosot sebanyak 52.3 peratus berbanding tahun lalu, naik daripada kemerosotan sebanyak 31.7 peratus yang dicatatkan pada April.

Sebaliknya, sebahagian besar daripada industri khidmat F&B mencatatkan pertumbuhan positif dalam penjualan mereka sejak Februari berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Persatuan Karyawan Katering Singapura (ACAPS) menyatakan hasil pendapatan yang merosot secara mendadak seperti dipaparkan dalam data rasmi penjualan runcit "mencerminkan" dapatan tinjauan tersebut.

CABARAN DALAM PERALIHAN

Rata-rata syarikat-syarikat katering tidak setakat berpeluk tubuh dan menunggu sehingga peraturan dilonggarkan.

Sepanjang tahun lalu, ramai yang mempelbagaikan menu masing-masing untuk menawarkan hidangan untuk majlis keramaian bagi bilangan tetamu yang lebih kecil, memperkenalkan set bento dan hadiah. Namun, huraian itu memberikan margin keuntungan yang kecil disebabkan oleh saiz tempahan yang dibuat dan kos tinggi untuk membayar pekerja dan bagi pembungkusan.

Selain itu, kos bagi sesetengah bahan meningkat sebanyak lima peratus disebabkan oleh gangguan berkaitan pandemik terhadap penghantaran kapal, kata ketua eksekutif Delizio Catering Joseph Lee.

Dengan dorongan ACAPS dan sokongan daripada Enterprise Singapore (ESG), syarikat-syarikat katering yang lain cuba menceburi aliran perniagaan yang berlainan seperti melancarkan jenama F&B secara maya.

Jenama-jenama itu, hanya ditawarkan bagi tempahan dan khidmat bawa pulang, membolehkan syarikat-syarikat katering mencuba tawaran hidangan baru.

Satu lagi pempelbagaian adalah untuk menembusi pasaran makanan siap dihidang.

Encik Chan, yang merupakan ketua eksekutif Kitchen Haus Group yang memiliki empat syarikat katering, adalah salah satu daripadanya yang membuat peralihan itu.

Syarikatnya melancarkan jenama baru bernama Gourmet Xpress sekitar setahun lalu namun mereka baru sahaja mula melihat "sedikit sambutan" memandangkan ia adalah "pasaran yang sangat sengit" dengan banyak jenama tempatan, katanya.

HARAPAN DI PENGHUJUNG JALAN?

Akhir sekali, pihak industri katering menyatakan ia memerlukan majlis-majlis berskala besar untuk pulih semula.

Beberapa perniagaan yang ditemui Mediacorp menyatakan terdapat secebis harapan di masa hadapan setelah pihak berkuasa mengumumkan langkah-langkah pembezaan, termasuk perhimpunan sosial bagi lebih ramai orang dan keupayaan lebih tinggi untuk sesetengah kegiatan dan tempat-tempat awam, bagi mereka yang sudah mendapatkan vaksin di bawah program vaksinasi negara.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan