Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat basikal sewa dalam rundingan bekalkan basikal kepada penghantar makanan

Tiga syarikat basikal sewa di sini mungkin menawarkan basikal kepada syarikat-syarikat penghantaran makanan yang menghadapi kesulitan mencari pengangkutan alternatif bagi ribuan penghantar makanan yang terjejas oleh larangan penggunaan skuter elektrik di laluan pejalan kaki.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat basikal sewa dalam rundingan bekalkan basikal kepada penghantar makanan

Terdapat sekitar 7,000 penghantar makanan menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD) yang digajikan oleh GrabFood, Foodpanda dan Deliveroo di Singapura.

Diterbitkan : 08 Nov 2019 12:55PM Dikemas Kini : 08 Nov 2019 01:12PM

SINGAPURA: Tiga syarikat basikal sewa di sini mungkin menawarkan basikal kepada syarikat-syarikat penghantaran makanan yang menghadapi kesulitan mencari pengangkutan alternatif bagi ribuan penghantar makanan yang terjejas oleh larangan penggunaan skuter elektrik di laluan pejalan kaki.

Seorang jurucakap Foodpanda berkata syarikat itu "tentunya sedang mengkaji potensi kerjasama dengan syarikat-syarikat basikal elektrik", sementara seorang jurucakap Deliveroo berkata ia "dalam perbincangan" dengan para pengendali basikal sewa.

Langkah melarang e-skuter di laluan-laluan pejalan kaki diumumkan di Parlimen pada Isnin (4 Nov) dan dikuatkuasakan pada Selasa (5 Nov), memberikan para penghantar makanan masa yang amat singkat untuk membuat penyesuaian dan bertukar cara pengangkutan. Mereka kini dibenarkan menggunakan e-skuter hanya di laluan-laluan berbasikal dan rangkaian penghubung taman.

Terdapat sekitar 7,000 penghantar makanan menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD) yang digajikan oleh GrabFood, Foodpanda dan Deliveroo, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Lam Pin Min pada Isnin (4 Nov).

Mengulas pertanyaan Mediacorp, Foodpanda menyatakan ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan-rakan kongsi yang lain "untuk menawarkan perubahan bentuk pengangkutan pada kadar dimampui". Kadar itu juga akan ditawarkan kepada pengguna PMD di merata Singapura, termasuk mereka yang bekerja untuk syarikat-syarikat penghantaran makanan lain, yang mungkin terjejas oleh peraturan baru itu, tambahnya.

Syarikat-syarikat basikal sewa mengesahkan dengan Mediacorp bahawa mereka sedang mengkaji kerjasama dengan syarikat-syarikat penghantaran makanan berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Moov Mobility, Cik Sharon Meng berkata pada Khamis (7 Nov) bahawa syarikat tersebut sedang berunding dengan beberapa syarikat penghantaran makanan tentang kemungkinan menawarkan basikal dan basikal elektrik kepada para penghantar makanan yang terjejas. Beliau bagaimanapun enggan menamakan syarikat-syarikat tersebut.

SG Bike, pengendali basikal sewa terbesar di Singapura yang mempunyai sekitar 20,000 basikal di merata negara menyatakan ia juga terbuka kepada idea tersebut.

Encik Benjamin Oh, Pengarah Pemasaran syarikat itu berkata "SG Bike sedang mengkaji kerjasama dengan syarikat-syarikat penghantaran makanan untuk menyediakan basikal-basikal kepada rakan kongsinya untuk digunakan secepat mungkin."

Pengasas Anywheel Htay Aung berkata bahawa syarikat itu "berminat untuk meneroka pilihan tersebut".

Beliau berkata bahawa Anywheel sudah berunding dengan Foodpanda seawal tiga bulan lalu. Namun, perjanjian yang dibentangkan ketika itu "adalah untuk menawarkan kedua-dua khidmat e-skuter dan basikal".

Sejak larangan tersebut berkuat kuasa, Anywheel sudah mengadakan "perbincangan dalaman tentang bagaimana ia boleh menyediakan khidmat berdaya tahan" yang munasabah bagi kedua-dua syarikat penghantaran makanan dan Anywheel menjelang hujung bulan (November).

Mediacorp sudah menghubungi GrabFood, satu lagi pemain besar dalam industri perkhidmatan penghantaran makanan untuk mengulas.

REAKSI BERCAMPUR-CAMPUR DALAM KALANGAN PENGHANTAR MAKANAN

Encik Jim Hon, seorang penghantar makanan bebas berkata bahawa keberkesanan kerjasama itu bergantung kepada sama ada kadarnya dimampui.

"Jika (kadarnya) tinggi dan menjejas pendapatan dengan banyak, kadar pengambilan khidmat basikal sewa itu tidak akan begitu tinggi," kata lelaki berusia 37 tahun itu.

Pelajar dan penghantar makanan sambilan Muhammad Junaidi yang bekerja dengan Domino's Pizza berkata beliau tidak akan menukar kepada basikal disebabkan isu-isu kesihatan yang dialaminya.

"Saya mempunyai penyakit semput dan berbasikal boleh membuat saya semput," kata remaja 18 tahun itu.

Seorang penghantar makanan Foodpanda yang hanya ingin dikenali sebagai Danish sudah beralih daripada menggunakan e-skuter kepada basikal.

Namun, beliau berkongsi bahawa beliau mengambil masa lebih lama untuk menghantar makanan; beliau dapat memenuhi 24 pesanan menggunakan e-skuternya pada Ahad (3 Nov) - pada hari sebelum larangan itu diumumkan - namun hanya 13 pesanan dapat dipenuhi apabila beliau menggunakan basikal pada Rabu (6 Nov). Pendapatannya juga merosot daripada sekitar S$100 sehari kepada S$36.

ANGGOTA PARLIMEN NEE SOON EAST KAJI BANTUAN SEMENTARA

Encik Louis Ng, Anggota Parlimen GRC Nee Soon memberitahu Mediacorp bahawa beliau sedang mengkaji cara-cara membantu keluarga para pekerja penghantar makanan di kawasan undinya untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baru itu.

"Saya telah bertemu dengan para pekerja penghantar makanan dan saya boleh memahami kesukaran mereka," kata Encik Ng. "Ia tidak mudah kerana sesetengah daripada mereka kehilangan sumber pendapatan semalaman dan perlu melakukan penyesuaian sekarang."

"Kami akan mengkaji beberapa bantuan kewangan sementara kepada para pekerja penghantar makanan daripada keluarga berpendapatan rendah (dari Nee Soon East) yang bergantung kepada tugas itu sebagai mata pencarian mereka."
 

Sumber : Today/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan