Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Syarikat anak Melayu ini - Pondok Abang - sasar jadi syarikat S$100 juta

Syarikat anak Melayu Singapura, Pondok Abang, yang membekal dan menjual makanan siap dimakan atau Ready-To-Eat menyaksikan nilai perniagaannya melonjak kepada $10 juta dalam tempoh enam tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Syarikat anak Melayu Singapura, Pondok Abang, yang membekal dan menjual makanan siap dimakan atau Ready-To-Eat menyaksikan nilai perniagaannya melonjak kepada $10 juta dalam tempoh enam tahun.

Ini suatu pencapaian amat memberangsangkan memandangkan pada 2012, perniagaannya mencatat kurang daripada S$1 juta sahaja.

Perniagaan Pondok Abang melonjak berlipat kali ganda setelah ia mendakapi penggunaan automasi dan mula memasarkan produknya secara digital.

Kini syarikat makanan halal itu - yang menjual sekitar 50 jenis produk - bakal meluaskan kehadirannya ke rantau Asia Tenggara, dengan Malaysia menjadi tapak luar negara pertama yang mahu dipikatnya.

GIAT LABUR S$1 JUTA BELI MESIN

Syarikat Pondok Abang sebenarnya sudah lama bertapak, iaitu sekitar 30 tahun lalu dalam industri makanan. Namun demikian ia enggan hanya berpeluk tubuh.

Maka itulah, pemiliknya sekarang, Encik Muhammad Hasan Basri Abdul Rahman, bertindak mengubah perniagaan keluarganya menerusi pelaburan besar dalam automasi. Selain itu, Pondok Abang juga rancak memanfaatkan ruang digital bagi memasarkan produk siap dimakan keluarannya.

Pelaburan sekitar $1 juta dolar yang dibuatnya untuk membeli mesin-mesin automatik ternyata berbaloi.

Salah satu mesin automasi yang digunakan di kilang Pondok Abang dipanggil 'Bone Saw'. Ia boleh memotong sebanyak enam tan daging, walaupun masih beku, dalam masa lapan jam sahaja.

Menjelang pertengahan tahun ini pula, Pondok Abang akan dapat menghasilkan sebanyak empat tan produk sehari, dengan adanya bantuan automasi. Ini berbanding satu tan sekarang.

NILAI SYARIKAT TAMBAH S$7 JUTA DALAM 4 TAHUN

Sejak Encik Hasan mengambil alih perniagaan daripada bapanya pada 2015, nilai syarikatnya melonjak daripada kurang $3 juta kepada $10 juta sekarang.

Peniaga muda berusia 30 tahun itu memberitahu BERITAmediacorp, meskipun mengambil alih perniagaan itu pada 2015, beliau hanya benar-benar melakukan perubahan kira-kira dua tahun kemudian.

Ini kerana kebimbangannya dan rasa kurang pasti tentang apa, bagaimana dan bila hendak melakukan perubahan tersebut.

"Saya mengatasinya selepas dua tahun dan sekarang Alhamdulillah sudah ada struktur. Ia sebenarnya mudah tetapi bagi seseorang yang tidak pernah melalui perkara seperti ini, ia sukar," jelas Encik Hasan.

Encik Hassan (tengah) bersama kakitangannya. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

MAHU JADI SYARIKAT SERANTAU

Lantaran prestasi syarikatnya yang memberangsangkan, Encik Hasan mendedahkan bahawa Pondok Abang bakal menyerantau pula ke luar negara pada hujung tahun 2019 ini.

"Kami akan bermula di rantau Asia Tenggara dahulu kerana kami rasa dalam pemakanan, budaya lagi rapat. Sebab kami Pondok Abang, kami mengeluarkan produk-produk makanan asli Melayu yang dibuat secara tradisional. Jadi kami akan berkembang dalam cara macam itu," Encik Hasan, 30 tahun, memberitahu BERITAmediacorp.

Johor Bahru dan Lembah Klang di Malaysia menjadi pasaran luar pertama yang bakal menikmati kira-kira 26 produk makanan siap dimakan yang ditawarkan Pondok Abang. Beliau kemudian merancang untuk menembusi pasaran Indonesia dan Brunei dalam tempoh dua tahun ini.

Itu semua merupakan negara Melayu. Jadi mungkinkah Pondok Abang akan bersaing dengan produk yang sama di negara-negara tersebut?

"Di sesetengah tempat, seperti di Malaysia, produk segera makan telahpun ada. Tetapi kalau kamu pergi ke Malaysia untuk melihat di pasar raya kamu tidak boleh berjumpa rendang daging yang siap dimakan. Kalau pizza tu memang banyak, pizza, lasagna, tapi makanan Melayu masih tetap kurang," ujar beliau.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

IMPIAN 2021

Namun, aspirasi Encik Hasan bagi Pondok Abang tidak terhenti setakat di situ sahaja. Pondok Abang berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa ia sebenarnya menyasarkan mahu menjadi syarikat bernilai S$100 juta menjelang tahun 2021.

Ini semestinya suatu sasaran yang agak berani memandangkan itu mahu dicapai dalam masa dua tahun sahaja.

"Pada 2021 pasaran makanan halal global dijangka bernilai $2.1 trilion. Jadi kami ingin bersaing di dalam arena ini kerana nombor satu, kami adalah peniaga Muslim. Jadi halal adalah satu benda yang terdekat dengan kami. Nombor dua, kami mengeluarkan masakan Melayu sejak 30 tahun yang lalu. Jadi kami rasa kami boleh bertanding dalam peringkat itu," tambah beliau.

Sejauh ini, produk-produk Pondok Abang di Singapura dijual di beberapa gerai makanan dan online seperti RedMart dan Qoo10.

BIJAK MANFAATKAN GERAN PEMERINTAH

Salah satu daripada 'rahsia' kejayaan Pondok Abang ialah ia rajin memanfaatkan segala skim-skim Pemerintah yang ditawarkan.

Untuk membeli mesin-mesin yang mahal-mahal serta membina prasarana perniagaan, syarikat tersebut memanfaatkan skim-skim seperti Geran Pembangunan Keupayaan (CDG), Kredit Produktiviti & Inovasi (PIC), Baucar Inovasi & Keupayaan (ICV) dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG).

Encik Hasan berkongsi bahawa secara terkumpul, syarikatnya berjaya meraih geran sekitar S$250,000 dengan memanfaatkan kesemua geran Pemerintah itu.

"Untuk kami menggunakan CDG, kami harus mengeluarkan duit kami dahulu. Jadi bagi sesetengah SME, mungkin pada mereka agak berat. Mereka ada idea, mereka apa mesin hendak mereka beli, tapi mereka tidak ada modal untuk membelinya dulu.

"Untuk kami, Alhamdulillah sebab kami sudah berniaga 30 tahun. Jadi kami ada modal untuk membeli mesin-mesin ini terlebih dahulu sebelum mendapat semula subsidi," kata Encik Hasan secara terus terang.

Geran-geran itu jugalah yang sudah membantu Pondok Abang untuk "berkembang secara internasional", tambah beliau.

Lantaran itu, Encik Hasan mencadangkan kepada Pemerintah supaya membantu sesetengah peniaga yang ingin bertapak mendapatkan mesin-mesin, menerusi "proses yang lain sikit".

Belanjawan 2019 bakal dibentangkan pada Isnin depan (18 Feb). Semestinya para peniaga seperti Encik Hasan akan terus menantikan pelbagai bantuan lain dari Pemerintah untuk memacu perniagaannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan