Images
  • aerospace worker
    Gambar fail seorang pekerja di loji pengilangan industri aeroangkasa di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Syarikat aeroangkasa rancang ambil 1,000 pekerja sepanjang 2 tahun akan datang

SINGAPURA: Syarikat-syarikat aeroangkasa di Singapura merancang untuk mengambil 1,000 pekerja sepanjang dua tahun akan datang. Ini sedang sektor yang terjejas oleh pandemik itu membuat persediaan bagi peluang pertumbuhan baru dalam perkhidmatan digital, teknologi autonomi dan kemampanan.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng mengumumkan demikan di Hari Aeroangkasa 2021 hari ini (11 Okt).


Sebuah syarikat yang baru-baru ini memulakan usaha pengambilan pekerja adalah pengeluar aeroangkasa Amerika, Pratt & Whitney. Ia merancang untuk menambah lagi 250 pekerja bagi operasi penyenggaraan, pembaikaan dan baik pulih (MRO) di Singapura menjelang hujung tahun ini.

“Keupayaan teknologi canggih aeroangkasa mereka akan meletakkan Singapura dan pekerja kita di barisan hadapan dalam industri MRO sejagat," kata Dr Tan yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.

Pengeluar jet perniagaan, Bombardier, merancang untuk mengisi lebih 90 jawatan sedang ia menyasarkan untuk melipatgandakan sebanyak empat kali jejak mereka yang sedia ada di Singapura. Sementara itu, pembuat enjin, GE Aviation, juga sedang mencari bakat untuk mengisi 200 jawatan tahun ini.

Antara pemain tempatan, Singapore Technologies (ST) Engineering merancang untuk merekrut sehingga 200 karyawan penerbangan menjelang tahun depan manakala Singapore Aero Engine Services sedang mencari pekerja bagi 170 tempat kosong untuk menyokong pertumbuhan operasinya.

Dr Tan berkata Singapura sudah selama bertahun-tahun memantapkan negara sebagai sebuah "nod utama" dalam rantaian nilai aeroangkasa sejagat. Kini Singapura adalah hab MRO aeroangkasa terkemuka di Asia, membentuk 10 peratus daripada hasil pengeluaran MRO di seluruh dunia.

Namun, dengan pesawat digantung dan penerbangan komersil dikurangkan secara mendadak sejak tahun lalu, industri aeroangkasa Singapura - yang menggajikan lebih 22,000 orang dan lebih banyak menyokong penerbangan komersil - terjejas akibat kesan pandemik COVID-19.

Sekalipun demikian, Singapura terus mengekalkan "pangkalan kegiatan aeroangkasa yang kukuh" dengan syarikat meneroka peluang pertumbuhan yang baru, kata Dr Tan ketika menyampaikan satu ucapan di acara anjuran JTC itu.

Beliau memberi contoh bagaimana ST Engineering menggunakan pesawat penumpang yang kurang dimanfaatkan bagi kargo udara.

Tahun lalu, firma tempatan itu menghasilkan kapal kargo pertama di dunia yang ditukarkan daripada pesawat penumpang A321. Ia menawarkan 55 peratus lebih banyak kapasiti berbanding pesaing terdekatnya, kata Dr Tan.

“Memandangkan permintaan bagi kapal kargo terus kukuh, ST Engineering akan meningktan kapasiti pertukarannya dan akan menukarkan lebih 55 pesawat pada tahun depan," tambah beliau.

TIGA PELUANG PERTUMBUHAN

Dr Tan menarik perhatian prospek jangka lebih panjang bagi sektor aeroangkasa adalah "positif" dan terdapat peluang utama bagi pertumbuhan.

Pertama adalah bidang perkhidmatan digital di mana syarikat aeroangkasa memanfaatkan kuasa data besar untuk memantau kesihatan pesawat, meramalkan jadual penyenggaraan, mengoptimumkan penggunaan bahan bakar dan mengurangkan kelengahan di landasan. Ini boleh membantu syarikat penerbangan dan penumpang menjimatkan waktu serta kos.

Menteri itu merujuk kepada Airbus yang membuka rasmi Kampus Singapura di Taman Aeroangkasa Seletar pada November tahun lalu.

Kampus itu bertindak sebagai hab serantau Asia Pasifik dan menempatkan sebuah pasukan berdedikasi bagi platform huraian-huraian digitalnya. Syarikat itu berhasrat untuk terus meneroka kerjasama dengan rakan-rakan di rantau ini untuk mempertingkat prestasi pesawat-pesawatnya, kata Dr Tan.

Pengeluar peralatan asli aeroangkasa juga boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi berautonomi dan perhubungan canggih.

Kemampanan adalah bidang pertumbuhan ketiga, kata Dr Tan, sedang syarikat aeroangkasa meneroka huraian seperti pendorongan elektrik, bahan bahar penerbangan yang mampan dan pesawat yang menggunakan kuasa hidrogen.

Dr Tan menambah syarikat yang merancang untuk merebut peluang pertumbuhan ini "mempunyai kumpulan bakat yang kukuh di sini untuk dimanfaatkan".

Ini termasuk teknisyen dan jurutera yang bertauliah serta lebih 2,000 lulusan daripada pelbagai kursus aeroangkasa yang ditawarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti setiap tahun.

Satu program pertukaran kerjaya juga disediakan bagi membantu karyawan pertengahan kerjaya yang berminat untuk menyertai sektor itu, kata beliau.  

- CNA/FZ/fz

Top