Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sunseap menang tender pasang panel suria pada blok HDB, sekolah dan Perpustakaan Negara

Sunseap Leasing dianugerahi projek untuk memasang panel-panel suria pada 1,218 blok HDB dan 49 tapak pemerintah, termasuk beberapa sekolah dan bangunan Perpustakaan Negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Oct 2019 04:47PM Dikemas Kini : 02 Oct 2019 09:28PM

SINGAPURA: Sunseap Leasing dianugerahi projek untuk memasang panel-panel suria pada 1,218 blok HDB dan 49 tapak pemerintah, termasuk beberapa sekolah dan bangunan Perpustakaan Negara.

Kerja-kerja pemasangan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan akan siap menjelang suku ketiga 2022, demikian diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (2 Okt).

Ini merupakan tender keempat di bawah program SolarNova yang dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB). Program itu bertujuan mengumpul permohonan bagi sistem-sistem tenaga suria dari agensi-agensi Pemerintah bagi mencapai ekonomi skala.

Menurut HDB dan EDB dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, tender tersebut dibuka pada Disember tahun lalu dan menerima lapan bidaan daripada syarikat-syarikat tempatan dan asing.

Bagi lebih 1,200 blok HDB yang terangkum di bawah tender itu, tenaga elektrik yang dijana menerusi panel-panel suria akan digunakan untuk membekalkan elektrik kepada lif bangunan, lampu dan pam air pada siang hari.

Blok-blok HDB itu tergolong di bawah Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dan Holland-Bukit Panjang.

Menurut HDB lagi, blok-blok itu akan dapat menjimatkan tenaga secara mutlak dan lebihan bekalan tenaga suria akan disalurkan kepada grid elektrik di Singapura.

Tapak-tapak lain yang akan diliputi di bawah tender itu termasuk 13 tapak Kementerian Pertahanan, 30 sekolah seperti Sekolah Rendah Anderson, Sekolah Perempuan Methodist (Sekolah Rendah dan Menengah), Maktab Rendah Kebangsaan, bangunan Perpustakaan Negara di Victoria Street dan rumah mayat di New Mandai.

Sekitar 2,000 blok HDB dipasang dengan panel-panel suria sejak Ogos, sedang kerja-kerja pemasangan panel suria di lebih 2,370 blok HDB kini dijalankan.

Menurut kedua-dua agensi, HDB adalah pemacu utama bagi pemasangan sistem panel suria di Singapura. Insiatif-insiatif berhubung tenaga suria yang dikendalikan oleh HDB menyumbang lebih 60 peratus kepada sasaran kapasiti 350 MWp menjelang 2020 untuk tenaga solar Singapura.

"Ini membolehkan tenaga bersih berkapasiti 277 GWh dijana setiap tahun, sama seperti membekalkan tenaga bersih kepada sekitar 57,500 buah flat empat bilik. Ia sekaligus juga dapat mengurangkan pengeluaran karbon 138,500 tan setiap tahun," kata HDB dan EDB.

Dengan projek terbaru berkapasiti 70 MWp itu, keupayaan untuk menukar cahaya matahari kepada tenaga akan melonjak 40 peratus berbanding tender sebelumnya dengan kapasiti 50 MWp.

"Ini akan menjana lebih banyak tenaga bersih dan bantu mengurangkan pengeluaran karbon serta mengurangkan kesan perubahan iklim," tambah kedua-dua agensi pemerintah itu lagi.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan