Images
  • Dewipreneur
    (Gambar: DEWI@SMCCI)

SMCCI buka pencalonan bagi iktiraf usahawan wanita Melayu/Islam termasuk peniaga dari rumah

SINGAPURA: Enam anugerah baru bagi mengiktiraf pelbagai kejayaan para usahawan wanita Melayu/Islam Singapura, akan disampaikan bulan depan.

Ini termasuklah anugerah bagi mengiktiraf wanita yang berniaga dari rumah dan usahawan wanita paling popular.

Anugerah-anugerah itu adalah inisiatif sayap wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura, DEWI@SMCCI yang dianjurkan bersama dengan syarikat RoseValley.

Anugerah utama yang akan menjadi acara kemuncak majlis penganugerahan itu adalah Anugerah Dewipreneur 2019.

Anugerah berprestij itu akan disampaikan kepada usahawan wanita cemerlang yang menonjolkan ciri-ciri luar biasa dari segi hala tuju strategi perniagaannya, daya inovasi, kewibawaan dan prestasi perniagaan yang boleh diteladani.

Selain itu, DEWI@SMCCI turut memberikan anugerah Usahawan Baru Paling Berpotensi, Usahawan Wanita Paling Prihatin dan Usahawan Wanita Paling Berpengaruh.


Menurut Pengerusi DEWI@SMCCI, Cik Fadilah Majid, objektif anugerah itu adalah untuk terus mendorong dan menyokong para usahawan wanita SMCCI, yang kian bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami berharap ini akan merangsang lebih ramai wanita supaya lebih yakin untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan di samping menjaga keluarga mereka," kata beliau.

Anugerah tersebut adalah sebahagian daripada acara Influence-Her 2019 yang diadakan bagi menghargai usaha-usaha para usahawan wanita yang seringkali perlu mengimbangi pelbagai peranan merekahari.

Antara yang menarik adalah penampilan usahawan wanita terkenal dari Malaysia, iaitu pengasas Naelofar Hijab, Noor Neelofa, sebagai salah seorang tetamu bagi sesi perbincangan panel.

Beliau juga akan menyampaikan ucapan dan menyertai sesi perbincangan tersebut bersama dengan dua lagi usahawan tempatan, iaitu Cik Rachel Lim, pengasas jenama Love, Bonito dan Cik Suryanie Ismail, pemilik Yummy Takoyaki.

Seramai 10 individu bakal memenangi anugerah bagi kategori usahawan wanita yang berniaga dari rumah dan satu penerima bagi lain-lain kategori. Pencalonan hanya dibuka kepada para usahawan wanita yang menganggotai SMCCI.

Sejauh ini seramai 141 usahawan wanita sudahpun berdaftar sebagai anggota SMCCI dan menerusi acara Influence-Her 2019, dewan itu berharap agar jumlahnya akan terus meningkat.

"Kami berharap untuk menambah jumlah anggota SMCCI dalam kalangan usahawan wanita, untuk membantu mereka menjalin rangkaian, kerjasama dan maju bersama. Kami juga mahu membantu mereka mendakap pendigitalan dan mengembangkan perniagaan mereka, baik di dalam mahupun di luar negara menerusi pelbagai skim bantuan Pemerintah," tambah Cik Fadilah.

Pencalonan bagi Anugerah Dewipreneur dibuka sehingga 28 Februari ini.

Kemuncak acara pula bakal diadakan pada 31 Mac nanti dan maklumat tentang tiket masuk boleh diperolehi di laman ini.

- BERITAmediacorp/nk

Top