Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Skim Beli Balik Pajakan diluaskan kepada semua flat HDB

Skim Beli Balik Pajakan akan diluaskan meliputi semua flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), termasuk flat lima bilik dan yang lebih besar, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (20 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Aug 2018 02:41PM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 10:01PM

SINGAPURA: Skim Beli Balik Pajakan akan diluaskan meliputi semua flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), termasuk flat lima bilik dan yang lebih besar, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (20 Ogos).

Skim Beli Balik Pajakan itu diperkenalkan pada 2009 dan membolehkan para pemilik flat warga tua untuk menjual kembali sebahagian pajakan flat mereka kepada HDB, sedang mereka terus tinggal di flat itu. Ia bertujuan memberi mereka pendapatan tetap. Sebelum ini, hanya pemilik flat empat bilik atau yang lebih kecil layak bagi skim tersebut.

Menerusi blog beliau selepas ucapan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam (19 Ogos), Encik Wong berkata bahawa langkah meluaskan skim itu meliputi flat lebih besar akan "membolehkan lebih ramai rakyat Singapura meraih manfaat daripada skim tersebut".

Merujuk kepada pengumuman Encik Lee berkaitan rancangan untuk menaik taraf flat-flat lama dan membangunkan semula estet-estet kejiranan HDB yang lama, Encik Wong berkata langkah-langkah jangka pendek akan dijalankan bagi membantu warga emas meraih pendapatan daripada hartanah mereka bagi persaraan.

"LBS (Skim Beli Balik Pajakan) adalah satu skim yang baik tetapi ia hanya bagi mereka yang tinggal di flat empat bilik atau yang lebih kecil. Tujuan asal ialah bagi mereka yang tinggal di rumah lebih besar untuk berpindah ke flat lebih kecil.

"Tetapi sesetengah warga emas mahu menghabiskan sisa hidup mereka di rumah asal yang dimiliki. Ada juga mempunyai cucu yang akan sering berkunjung ke rumah mereka, dan inginkan ruang lebih besar untuk keluarga," kata Encik Wong.

Beliau berkata langkah-langkah perumahan yang diambil Pemerintah penting bagi persiapan masa depan dengan penuh "tanggungjawab".

"Langkah-langkah ini hasil kajian intensif yang dijalankan selama berbulan-bulan oleh MND dan HDB. Kami juga mengumpul maklum balas dan pandangan rakyat Singapura, yang sangat membantu membentuk pendekatan dan pemikiran kami," tambah Encik Wong.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan