Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Skim baru S$180 juta bakal sokong 6,000 syarikat S'pura manfaat peluang ekonomi mesra alam

Satu program baru bagi membantu perniagaan tempatan membangunkan keupayaan dalam bidang kemampanan dan merebut peluang ekonomi mesra alam dilancarkan pada Jumaat (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Skim baru S$180 juta bakal sokong 6,000 syarikat S'pura manfaat peluang ekonomi mesra alam

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 01 Oct 2021 01:52PM Dikemas Kini : 01 Oct 2021 01:58PM

SINGAPURA: Satu program baru bagi membantu perniagaan tempatan membangunkan keupayaan dalam bidang kemampanan dan merebut peluang ekonomi mesra alam dilancarkan pada Jumaat (1 Okt).

Enterprise Singapore akan memperuntukkan sehingga S$180 juta untuk Program Kemampanan bagi Perusahaan yang pertama kali diumumkan di Belanjawan 2021.

Sekurang-kurangnya 6,000 syarikat dijangka meraih manfaat daripada inisiatif baru itu sepanjang empat tahun akan datang.

Mengumumkan pelancarannya pada Jumaat, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata keprihatinan mengenai perubahan iklim telah mendorong pemerintah, syarikat dan pengguna untuk meletakkan lebih banyak tekanan kepada usaha mengurangkan jejak karbon dan membangunkan lebih banyak amalan mampan.

Sejak itu, Singapura mengumumkan Pelan Hijau Singapura 2030, iaitu peta perjalanan nasional bagi memastikan Singapura kekal sebagai negara mesra alam dan sesuai didiami serta memanfaatkan kemampanan sebagai wadah pertumbuhan baru.

Encik Gan menarik perhatian bahawa lebih banyak syarikat kini cenderung untuk menggabungkan kemampanan dalam strategi perniagaan dan amalan mereka.

"Enterprise Singapore sudah menyaksikan syarikat-syarikat dari sektor maritim hingga kepada gaya hidup dan perkhidmatan, mencari sokongan untuk menceburi pelbagai usaha kemampanan," kata beliau kepada wartawan di satu sidang media secara maya.

"Sememangnya, lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk membangunkan dan memperkukuh ekosistem kemampanan Singapura. Khususnya, kita perlu membantu syarikat-syarikat membangunkan pengetahuan dan keupayaan dalam kemampanan."

Dalam hal itu, Program Kemampanan bagi Perusahaan akan menyediakan sokongan kepada syarikat-syarikat di setiap peringkat yang berbeza dalam perjalanan kemampannya.

Bagi syarikat yang baru berjinak-jinak, akan terdapat subsidi bagi bengkel latihan untuk membantu mereka membina kesedaran dan pengetahuan asas, mengakses wadah dan sumber relevan, serta membangunkan pelan pembangunan kemampuan untuk jangka panjang.

Enterprise Singapore akan bekerjasama dengan rakan-rakan kerja seperti PwC Singapore dan Majlis Sekitaran Singapura untuk menganjurkan bengkel-bengkel yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan, dedah Encik Gan.

Bagi syarikat yang mahu mendalami bidang itu pula, skim baru itu akan menyokong projek-projek pembangunan strategi, pengelolaan sumber serta perkhidmatan dan huraian untuk memanfaatkan peluang ekonomi mesra alam.

Di peringkat industri, akan terdapat "pendekatan yang dikhaskan mengikut keperluan" bagi membantu setiap sektor yang mempunyai keperluan unik.

Encik Gan berkata Enterprise Singapore akan bekerjasama dengan Persatuan-persatuan dan Dewan-dewan Perdagangan (TAC) seperti Majlis Industri Perabot Singapura dan Persatuan Kontraktor Singapura. Yayasan Perniagaan Singapura juga sedang merancang untuk memudahkan kerjasama silang sektor bersama Enterprise Singapore.

"Saya ingin menggalak syarikat yang berminat untuk meneroka inisiatif-inisiatif kemampanan supaya bekerjasama rapat dengan TAC masing-masing," tambah beliau.

Akhirnya, program baru itu bertujuan menjana ekosistem kemampanan "yang bertenaga dan selesa" tambah menteri itu.

Sebuah Skim Pendanaan bagi Perusahaan - Hijau akan dilancarkan untuk memperbaiki akses kepada pembiayaan mesra alam dan perincian lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.

Enterprise Singapore juga akan bekerja sama dengan Majlis Piawaian Singapura dan Majlis Pentauliahan Singapura untuk membangunkan piawaian dan program-program pentauliahan dalam bidang seperti teknologi rendah karbon dan penghasilan makanan mampan.

Geran Pembangunan bagi Perusahaan pula yang mengimbangi kos bagi projek-projek yang membantu pengembangan dan transformasi syarikat sehingga 80 peratus, juga akan dipertingkat bagi menyokong bidang-bidang baru seperti kemampanan, menurut Enterprise Singapura dalam satu kenyataan media. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan