Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Singtel perluas e-dompet Dash ke luar S'pura; bermula dengan Thailand

Singtel hari ini (20 Mac) mendedahkan rancangannya untuk menghubungkan aplikasi e-dompet Dash dengan rakan-rakan niaga (affiliates) serantau, bermula dengan AIS Thailand pada pertengahan tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Singtel perluas e-dompet Dash ke luar S'pura; bermula dengan Thailand

Logo Singtel di luar bangunan ibu pejabatnya di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 20 Mar 2018 07:56PM Dikemas Kini : 20 Mar 2018 08:04PM

SINGAPURA: Singtel hari ini (20 Mac) mendedahkan rancangannya untuk menghubungkan aplikasi e-dompet Dash dengan rakan-rakan niaga (affiliates) serantau, bermula dengan AIS Thailand pada pertengahan tahun ini.

Ini membolehkan para pengguna Singtel Dash membuat pembayaran bagi pembelian barangan dan perkhidmatan di destinasi-destinasi popular Thailand, seperti Pasar Lambak Chatuchak, Pusat MBK and Pratunam apabila khidmat tersebut dimulakan. Demikian menurut CEO Kumpulan Antarabangsa Singtel, Arthur Lang, memberitahu Mediacorp menerusi wawancara telefon.

Dalam pada itu, para pengguna AIS dengan e-dompet mPAY boleh membuat pembayaran serupa di cawangan kedai runcit seperti 7-Eleven, BreadTalk, NTUC FairPrice dan Food Republic semasa berada di Singapura, menurut syarikat tersebut.

Terdapat lebih 20,000 peruncit di kedua-dua negara yang menerima bayaran menerusi kaedah itu, tambahnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (20 Mac).

Syarikat telko Singapura itu juga merancang untuk meluaskan khidmat tersebut secara bertahap-tahap mulai separuh kedua 2018 kepada rakan-rakan niaga lain di rantau ini seperti Airtel India, Telkomsel Indonesia dan Globe di Filipina.

"Khidmat e-dompet kami yang saling terhubung meningkatkan lagi pengalaman pembayaran menerusi Singtel Dash kerana pembayaran mudah alih akan sentiasa ada," kata Encik Yuen Kuan Moon, CEO Consumer Singapore di Singtel menerusi kenyataan media.

Khidmat pembayaran mudah alih semakin dipergiat sejak Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada bulan Ogos lalu. PM Lee mendedahkan rancangan untuk menyepadukan pelbagai sistem pembayaran elektronik dengan lebih baik serta mewujudkan kod QR yang sama.

PERLU DATA MUDAH ALIH, WI-FI

Encik Lang berkata, para pengguna Dash itu memerlukan data mudah alih atau Wi-Fi untuk menggunakan aplikasi tersebut dan menjana kod QR bagi pembayaran, kos mata wang asing juga akan diambil kira, kata beliau.

Singtel menambah, para pengguna akan dapat melihat jumlah bayaran dalam mata wang asing dan tempatan sebelum membuat pembayaran. Ini bagi membantu para pelancong mengelakkan kesulitan membawa wang tunai dan berdepan dengan kos mata wang asing yang tidak menentu.

Bagi para pelancong yang enggan mengaktifkan khidmat perayauan (roaming), Encik Lang berkata pihaknya sedang meneliti langkah pemasaran tertentu untuk menanganinya, termasuk menawarkan beberapa pakej data (data bundle) mudah alih atau bayaran balik tunai.

"Terdapat banyak cara untuk menanganinya," kata Encik Lang.

Apabila ditanya bagaimana para pengguna boleh menokok jumlah wang dalam e-dompet mereka ketika berada di luar negara, Encik Lang berkongsi beberapa pilihan. Ini termasuk menghubungkan aplikasi tersebut dengan kad kredit atau debit dan juga memilih untuk dikenakan bayaran menerusi bil telefon bimbit mereka.

Selain itu terdapat juga pilihan "ibu, bapa, teman baik" di mana para pengguna boleh menghubungi keluarga dan rakan mereka untuk memindahkan wang yang diperlukan kepada akaun Dash, tambah beliau.

Jadi, bagaimana khidmat e-dompet Singtel berbeza dengan pilihan pembayaran lain seperti DBS PayLah! atau GrabPay?

Encik Lang berkata pertubuhannya mempuyai kehadiran yang kukuh di rantau ini, dengan rakan-rakan niaga yang kebanyakannya peneraju dalam pasaran masing-masing dan Singtel memanfaatkan kekuatan itu apabila menempatkan e-dompet Dash di rantau ini.

Malah, beliau menyifatkan pengumuman terbaru itu sebagai versi "Star Alliance bagi khidmat e-dompet", merujuk kepada kerjasama penerbangan global Singapore Airlines.

"Seperti dalam Star Alliance, syarikat penerbangan yang berbeza (dalam program itu) akan bersaing dalam pasaran tertentu, tetapi kerjasama tersebut mewujudkan nilai untuk para pelanggan secara keseluruhannya." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan