Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SingPost lakar rancangan tambah baik operasi, mutu perkhidmatan

Singapore Post (SingPost) mengumumkan beberapa langkah untuk membantunya menlaksanakan khidmat penghantaran secara lebih berkesan lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
SingPost lakar rancangan tambah baik operasi, mutu perkhidmatan

(Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 01 Jun 2019 09:04PM Dikemas Kini : 01 Jun 2019 10:52PM

SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) mengumumkan beberapa langkah untuk membantunya menlaksanakan khidmat penghantaran secara lebih berkesan lagi.

Ini termasuk satu kaedah online untuk membolehkan para penduduk mengenali posmen mereka dan meninggalkan sebarang maklum balas.

Langkah tersebut dilakukan setelah syarikat perkhidmatan pos setempat itu dibelenggu beberapa kejadian di mana surat-surat dibiarkan terlonggok atau 'dibuang', serta dihantar lambat sepanjang beberapa bulan lalu.

Bungkusan surat ditemui berhampiran peti surat di sebuah kolong blok Tampines pada 25 April 2019. (Gambar: Li Joanne/Facebook)

Bungkusan surat ditemui berhampiran peti surat di sebuah kolong blok Tampines pada 25 April 2019. (Gambar: Li Joanne/Facebook)

Tahun lepas, SingPost didenda S$100,000 kerana tidak memenuhi piawaian penghantaran dua tahun lalu.

Tekanan daripada khidmat penghantaran e-dagang yang kian banyak serta kelengahan dalam beberapa khidmatnya membuatkan SingPost melakarkan langkah-langkah untuk mempertingkatkan mutu khidmatnya.

LAMAN MIKRO BANTU PENDUDUK KENALI POSMEN

SingPost bakal melancarkan sebuah laman mikro untuk membolehkan para penduduk mengenali siapakah posmen mereka, menilai perkhidmatan mereka serta meninggalkan maklum balas.

Kawasan-kawasan perumahan di Bukit Timah dan Yishun akan menjadi yang pertama untuk mencuba laman mikro tersebut pada Julai ini.

Langkah-langkah lain pula bertujuan untuk menambah baik operasi. Sekarang ini, para posmen perlu melakukan penghantaran ke kedua-dua peti surat serta rumah penerima.

Mulai Ogos nanti, dua pasukan berdedikasi yang berasingan akan dikhususkan untuk melakukan setiap tugas itu. Penghantaran ke rumah juga akan dilanjutkan hingga lewat malam untuk meningkatkan lagi kadar kejayaan.

MANFAATKAN TEKNOLOGI

SingPost merancang untuk turut memanfaatkan teknologi bagi mengesan barang-barangan.

Bagi pengguna yang memilih untuk menggunakan khidmat penghantaran pos boleh dikesan yang baru, mereka tidak lagi perlu berada secara fizikal dan menanda tangan bungkusan yang diterima sebagai cara pengesahan. Sebaliknya, mereka akan dimaklumkan dari awal penghantaran dilakukan hingga ia dikirimkan ke rumah mereka.

Terdapat juga perbincangan untuk memasang 60,000 panel buka-tutup pintu utama (slam-shut) pada peti-peti surat di estet perumahan awam. Kunci boleh dikeluarkan hanya setelah pintu sudah ditutup sepenuhnya. Jika diberi kelulusan, ia akan dipasang mulai September ini.

Apabila ditanya tentang usaha pengambilan pekerja pula, SingPost menyatakan ia sudahpun mengambil sekitar 250 muka baru dan salah satu sasaran syarikat itu adalah untuk melabur dalam kakitangannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pos dan Singapura SingPost Vincent Phang: "Kami selalu mempunyai sekumpulan posmen yang sudah bekerja dengan kami buat tempoh waktu lama tetapi kami sudah mula kehilangan sesetengah posmen berpengalaman itu menerusi keciciran - mereka kian menua dan menginjak usia di mana mereka akan bersara.

"Meskipun kami sudah mengambil pekerja baru dan mendapatkan posmen-posmen baru untuk menyertai kami dalam beberapa bulan lalu, tahap pengalaman itu pastinya tidak sama. Jadi rancangan yang kami ada adalah untuk melatih dan mengerah mereka secara berkesan sebaik mungkin."

Pada masa depan, SingPost menyatakan ia tidak menolak kemungkinan mewujudkan peti-peti surat lebih besar memandangkan bungkusan barangan yang dikirim kini juga kian lebih besar saiznya.   

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan