Images
  • arab street masjid sultan
    Kawasan di hadapan Masjid Sultan (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Zalizan)

Singapura negara bukan Islam ke-2 paling selamat bagi pelancong Muslimah

SINGAPURA: Singapura dipilih sebagai destinasi kedua paling selamat dalam kalangan negara-negara bukan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), bagi pelancong Muslimah, menurut satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam laporan Muslim Women in Travel (MWIT) 2019 atau Muslimah dalam Pelancongan 2019 yang diterbitkan pada Khamis lepas (17 Okt), Kota Singa turut diundi sebagai destinasi keenam paling popular secara keseluruhan sebagai destinasi mesra Muslimah.

Laporan itu yang merupakan terbitan bersama syarikat pembayaran global Mastercard dan syarikat kajian pelancongan halal, Crescentrating, meninjau pendapat lebih 3,300 Muslimah dari pelbagai peringkat usia di merata dunia. Majoriti responden tinjauan online itu berasal dari rantau Asia Tenggara.

Kedua-dua syarikat itu juga awal tahun ini mengumumkan ranking Indeks Pelancongan Muslim Global Mastercard-CrescentRating (GMTI) 2019, yang menempatkan Singapura di tangga ke-10 destinasi mesra Muslim secara amnya.

DIANGGAP LEBIH SELAMAT DARIPADA SEBILANGAN NEGARA OIC

Malaysia menduduki tangga teratas destinasi paling mesra Muslimah, diikuti oleh Amiriah Arab Bersatu, Turki, Indonesia dan Jepun, manakala Singapura diundi di tempat keenam.


Menurut kenyataan Mastercard dan Crescentrating, destinasi-destinasi tersebut dipilih berdasarkan pelbagai khidmat yang menepati pelancong Islam seperti makanan halal, tempat sembahyang dan ruang riadah yang menawarkan privasi.

Menurut laporan itu, dua kriteria yang paling dititikberatkan seorang Muslimah apabila melancong adalah keselamatan diri dan keterbatasan dalam mengamalkan agama - termasuk kebebasan berpakaian Muslimah di tempat awam, tandas dengan kemudahan air untuk membersihkan diri dan ruang solat mesra wanita.

Berdasarkan dua faktor utama ini, Singapura mendapat tempat kedua dalam kalangan negara-negara bukan Islam, di belakang Taiwan dan mendahului Korea Selatan, Jepun dan Thailand.


(Gambar-gambar: Petikan laporan MWIT 2019)

Dari segi pemarkahan bagi faktor keselamatan, adalah menarik bahawa Singapura, dengan 98 mata, mencatat markah lebih tinggi berbanding negara-negara OIC seperti Turki, Malaysia dan Indonesia. Singapura hanya dua mata di belakang Qatar, yang mendapat markah penuh 100.

PENTINGNYA PASARAN PELANCONG MUSLIMAH

Laporan tersebut menekankan pasaran pelancong wanita Islam semakin penting. Pada tahun 2018 sahaja, sekitar 63 juta Muslimah - atau hampir separuh jumlah keseluruhan pelancong Muslim membelanjakan lebih AS$80 bilion ketika mereka melancong.

Dengan dua pertiga daripada mereka berusia 40 tahun ke bawah, dan kebanyakan wanita didapati mempunyai pengaruh besar dalam menentukan jadual lawatan apabila keluar berkumpulan, ini bermakna keutamaan, cita rasa dan tabiat pelancong Muslimah semakin perlu diambil kira oleh syarikat-syarikat dan pihak-pihak yang mahu memanfaatkan pasaran bernilai berbilion dolar ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top