Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SIA terima lebih 120,000 tempahan penerbangan VTL; 37% kapasiti penumpang sebelum COVID

SIA jangka kapasiti operasi akan terus tumbuh kepada 43% jelang hujung tahun, dengan penerbangan ke 53% destinasinya disambung semula.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA terima lebih 120,000 tempahan penerbangan VTL; 37% kapasiti penumpang sebelum COVID

Pesawat Singapore Airlines bersedia untuk membuat pendaratan di Lapangan Terbang Changi pada 14 Ogos 2021. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Nov 2021 05:40PM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 05:48PM

SINGAPURA: Sejak laluan perjalanan bagi penumpang sudah divaksin (VTL) yang membenarkan perjalanan bebas kuarantin dimulakan pada September, Singapore Airlines (SIA) menerima lebih 120,000 tempahan bagi penerbangan VTL.

Sehubungan itu, syarikat penerbangan tersebut kini sedang mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti bagi memenuhi lonjakan permintaan yang ia jangkakan dalam beberapa bulan akan datang.

Jumlah penumpang SIA meningkat kepada 37 peratus daripada paras sebelum COVID-19, dan angka itu dijangka bertambah kepada 43 peratus menjelang bulan depan, kata ketua pegawai eksekutif Singapore Airlines Goh Choon Phong dalam taklimat prestasi setengah tahun syarikat penerbangan itu pada Jumaat (12 Nov).

Hampir 80 peratus pesawatnya akan digunakan pada November, di mana 135 pesawat SIA dan Scoot akan dikerahkan, dan sekitar sembilan daripada setiap 10 kakitangan penerbangan diaktifkan.

Majlis taklimat syarikat penerbangan itu diadakan sehari selepas keputusan suku kedua diumumkan pada Khamis.

SIA melaporkan kerugian bersih S$427.6 juta bagi tiga bulan yang berakhir 30 September, turun daripada kerugian rekod S$2.34 bilion yang dicatat setahun sebelumnya, apabila sekatan COVID-19 menjejas perjalanan udara dan syarikat penerbangan itu menanggung caj gangguan (impairment charges) yang besar bagi pesawat lama.

Jumlah pendapatan juga melonjak seganda pada suku kedua kepada S$1.53 bilion ekoran permintaan kargo yang kukuh dan peningkatan empat kali ganda dalam jumlah penumpang daripada asas perbandingan yang sangat rendah, kata syarikat penerbangan itu.

Pihaknya menambah bahawa keadaan pasaran semakin pulih selepas ia melaporkan kerugian suku kedua yang lebih rendah akibat usaha pemotongan kos, jumlah pendapatan rekod daripada pengangkutan kargo dan peningkatan dalam jumlah penumpang daripada asas perbandingan yang rendah.

JANGKAAN LEBIH CERAH

Dengan VTL kini beroperasi, syarikat penerbangan itu optimis ia akan memacu pemulihan kapasiti penumpang, kata Encik Goh.

“Pada tahap operasi kami sekarang, iaitu 37 peratus daripada kapasiti sebelum COVID, meningkat kepada 43 peratus pada Disember, kami cukup selesa dengan kadar pemulihan ini,” katanya.

Beliau juga menjangkakan syarikat penerbangan itu akan mula terbang ke 53 peratus daripada destinasi sebelum COVID melanda menjelang bulan depan.

Walaupun Singapura cuba memulihkan perjalanan udara dengan Aturan Khas Perjalanan Udara Hong Kong-Singapura dan lorong hijau timbal balik, tidak satu pun daripadanya berjaya dilancar "dengan cara yang ketara", kata Encik Goh.

"VTL sebenarnya adalah satu-satunya (inisiatif) yang telah membawa peningkatan bermakna dalam trafik," tambahnya.

"Dan ini menunjukkan betapa pentingnya mempunyai aturan perjalanan bebas kuarantin dua hala untuk pelawat kami."

Skim VTL pertama kali dilancarkan bagi Jerman dan Brunei pada 8 September dan kemudian diluaskan ke Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) pada 19 Oktober, dan kemudian ke Australia dan Switzerland pada 8 Nov.

VTL dengan Korea Selatan akan dilancarkan pada 15 Nov, manakala VTL dengan Malaysia, Finland dan Sweden akan dilancarkan pada 29 Nov, meningkatkan kuota harian untuk ketibaan VTL daripada 4,000 kepada 6,000 pelawat.

Encik Goh menambah bahawa 92 peratus juruterbang dan 86 peratus kru kabin setakat ini telah diaktifkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat ini, dengan kebanyakannya ditugaskan bagi sekurang-kurangnya satu penerbangan sebulan.

Baki anak kapal yang masih tidak aktif dan ditempatkan di bahagian lain syarikat atau memilih cuti tanpa gaji secara sukarela, dijangka kembali bekerja secara beransur-ansur, kata Encik Goh lagi.

KEADAAN LUAR JANGKAAN

Encik Goh menegaskan bahawa meskipun SIA mencapai kemajuan, banyak keadaan masih "di luar kawalan syarikat penerbangan" itu.

Sebagai contoh, pendekatan sifar COVID-19 di China bermakna VTL dengan negara itu tidak akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kami melihat banyak negara lain mengiktiraf kadar vaksinasi yang lebih tinggi, dan perlunya untuk merangsang dan memastikan aktiviti ekonomi berterusan, terdapat keperluan untuk membuka sempadan… kami cukup yakin bahawa apabila itu berlaku, kami akan berada dalam kedudukan untuk memanfaatkan (keadaan) itu.”

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan