Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SIA rintis Pas Perjalanan IATA bagi keputusan ujian COVID-19, status vaksinasi penumpang

Ujian itu akan bermula dengan para penumpang yang melakukan perjalanan dari Singapura ke London antara 15 Mac dengan 29 Mac.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA rintis Pas Perjalanan IATA bagi keputusan ujian COVID-19, status vaksinasi penumpang

Kumpulan pertama vaksin Moderna COVID-19 diturunkan daripada pesawat SIA pada 17 Feb 2021. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 08 Mar 2021 11:10PM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 11:13PM

SINGAPURA: Para penumpang Singapore Airlines (SIA) akan dapat menggunakan aplikasi mudah alih untuk mengesahkan keputusan ujian COVID-19 dan status vaksinasi mereka, sedang syarikat penerbangan nasional itu menjadi syarikat penerbangan pertama untuk menguji Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ujian itu akan bermula dengan para penumpang yang melakukan perjalanan dari Singapura ke London antara 15 Mac dengan 29 Mac, menurut SIA menerusi kenyataan media pada Isnin (8 Mac).

IATA, sebuah badan global yang mewakili sekitar 290 syarikat penerbangan, sebelum ini menyatakan ia akan merasmikan pas perjalanan menjelang hujung bulan ini.

Pas itu akan tersedia untuk para pengguna peralatan Apple IOS. Mereka akan dipelawa untuk memuat turun aplikasi itu dan mewujudkan ID digital disertakan dengan gambar dan butiran pasport, dengan pilihan untuk menyertakan maklumat penerbangan juga.

Mereka kemudian boleh menempah ujian COVID-19 sebelum berlepas di salah satu daripada tujuh klinik di bawah program itu di Singapura menerusi sebuah portal online dan mendaftarkan diri di klinik itu menggunakan ID digital dan maklumat penerbangan yang dinyatakan dalam aplikasi tersebut.

"Mereka akan dapat melihat keputusan ujian mereka serta pengesahan status penerbangan secara langsung daripada aplikasi itu," menurut SIA, sambil menambah bahawa daftar Timatik IATA - yang sudah digunakan oleh syarikat penerbangan lain untuk mengesahkan dokumen-dokumen perjalanan penumpang - akan menyediakan maklumat-maklumat mengenai pengujian COVID-19 serta syarat kemasukan.

"Peserta yang menggunakan khidmat itu perlu menunjukkan pengesahan status dalam aplikasi tersebut kepada kakitangan di Lapangan Terbang Changi sebelum berlepas," tambah SIA.

"Sejajar dengan syarat-syarat sedia ada, mereka juga perlu membawa salinan fizikal sijil kesihatan yang dikeluarkan oleh klinik yang menjalankan ujian COVID-19."

Para penggunanya dapat menjangkakan "proses daftar masuk yang lebih cepat dan lancar" dengan pengesahan status kesihatan disatukan dalam aplikasi itu, menurut SIA.

Mereka juga mempunyai "sepenuh kawalan" ke atas sebanyak mana maklumat peribadi yang mahu dikongsi memandangkan data itu disimpan dalam telefon bimbit dan bukan dalam sebarang pangkalan data terpusat, tambah SIA.

"Ini penting memandangkan data kesihatan itu sesuatu yang sangat sensitif," menurut SIA.

"Jika berjaya, percubaan ini akan membuka laluan bagi penyepaduan keseluruhan proses pengesahan kesihatan digital ke dalam aplikasi SingaporeAir mulai pertengahan 2021, sekali lagi dengan menggunakan rangka kerja Pas Perjalanan IATA," tambah SIA.

"SIA akan terus bekerjasama dengan rakan-rakannya di Singapura dan di merata dunia untuk memudahkan proses ujian ini dan ke arah pemulihan pengalaman perjalanan lancar untuk para pelanggannya."

FASA PERTAMA DIUJI TAHUN LALU

Langkah itu diambil setelah SIA menjalankan ujian fasa pertama proses pengesahan kesihatan digitalnya - juga berdasarkan rangka kerja Pas Perjalanan IATA - pada Disember tahun lalu.

Ujian fasa pertama itu menyaksikan para penumpang yang menjalani ujian OCVID-19 di klinik-klinik terpilih di Jakarta dan Kuala Lumpur diberikan pengesahan secara digital atau fizikal.

"Kakitangan daftar masuk di lapangan terbang dan penguasa imigresen Singapura memastikan ketulenan sijil-sijil itu menggunakan aplikasi mudah alih yang selamat dan memastikan para pengguna memenuhi syarat-syarat kemasukan Singapura," menurut SIA.

Lebih 200 sijil kesihatan disahkan oleh para kakitangan daftar masuknya, tanpa sebarang sijil tiruan dikesan, tambah SIA.

Syarikat-syarikat penerbangan lain - termasuk Air New Zealand, Qatar Airways dan Malaysia Airlines - juga menyatakan mereka akan menjalankan ujian ke atas Pas Perjalanan IATA itu.

Fasa pertama itu membantu menyokong usaha SIA untuk mencapai "piawaian industri yang selamat dan mudah" bagi pengesahan keputusan ujian COVID-19 serta status kesihatan para penumpang, menurut pemangku naib presiden pemasaran dan perancangan SIA, JoAnn Tan.

"Ini memberikan kami keyakinan bahawa dalam fasa kedua, kami boleh terus menyelaraskan proses pengesahan untuk disepadukan ke dalam aplikasi mudah alih SIA kelak," kata beliau.

"Bagi jangka panjang, elemen identiti digital Pas Perjalanan IATA akan meletakkan para penumpang SIA di giliran beratur paling awal bagi pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih selesa lagi," menurut Naib Presiden Kanan IATA bagi lapangan terbang, penumpang, kargo dan keselamatan, Nick Careen.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan