Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SIA manfaatkan Inovasi untuk rampas kedudukan sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia

Dalam usahanya untuk merampas semula kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbaik di dunia, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) akan bekerjasama dengan empat lagi pertubuhan untuk meningkatkan lagi keupayaannya dalam bidang teknologi. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jan 2018 12:20PM Dikemas Kini : 29 Jan 2018 10:24PM

SINGAPURA: Dalam usahanya untuk merampas semula kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbaik di dunia, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) akan bekerjasama dengan empat lagi pertubuhan untuk meningkatkan lagi keupayaannya dalam bidang teknologi. 

SIA hari ini (29 Jan) mendedahkan tentang kerjasamanya dengan Universiti Nasional Singapura (NUS), Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), di bawah rangka tindakan inovasi digital SIA.

Wakil-wakil daripada empat pertubuhan itu bersama wakil SIA merasmikan kerjasama tersebut dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Latihan SIA. Majlis itu turut dihadiri Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran.

Matlamat kerjasama itu adalah untuk membina keupayaan bagi meningkatkan kecekapan melalui teknologi digital serta untuk membuka peluang-peluang baru perniagaan.

Salah satu perjanjian utama yang dimeterai adalah Perjanjian Kerjasama bagi Penyelidikan Induk dengan A*STAR untuk mengenal pasti dan membuka peluang-peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan amali. Ia termasuk kajian dalam bidang seperti analitik data, Internet of Things, realiti maya dan realiti tambahan bagi meningkatkan kecekapan proses penyenggaraan.

Matlamatnya adalah untuk membangunkan huraian-huraian bijak bagi mengurangkan kos penyenggaraan, mengurangkan kelengahan penerbangan dan meningkatkan lagi mutu perkhidmatannya.

"(Perjanjian) ini membolehkan SIA untuk memanfaatkan teknologi seperti penggunaan video dan analitik data, realiti maya dan realiti tambahan serta teknologi automatik untuk meningkatkan kecekapan operasi-operasi penerbangan," kata Profesor Tan Sze Wee, pengarah eksekutif Majlis Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan A*STAR. "Kerjasama inovasi seperti ini akan meletakkan sektor penerbangan Singapura di kedudukan yang baik kelak."

Sebagai sebahagian daripada pelan SIA untuk meningkatkan keupayaan digitalnya tahun ini, Makmal Inovasi Digital akan ditubuhkan bagi membolehkan para kakitangan SIA untuk bekerja dengan syarikat-syarikat inovatif dan menjana idea-idea baru selain memudahkan kerjasama dalam persekitaran yang kreatif.

"Kerjasama dengan agensi-agensi utama itu juga melambangkan komitmen kami untuk membangunkan Singapura sebagai hab digital dalam industri penerbangan dan pelancongan," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIA Goh Choon Phong. "Dengan pelancaran rangka tindakan inovasi digital, kami bertekad menjadi syarikat penerbangan digital terkemuka di dunia."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan