Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

ShopBack siasat kejadian libatkan 'akses tanpa izin' data peribadi pelanggan

Portal pulangan tunai online ShopBack menyatakan ia menjalankan siasatan selepas dimaklumkan tentang satu kejadian melibatkan "akses tanpa kebenaran" kepada sistem-sistemnya yang mengandungi data peribadi para pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
ShopBack siasat kejadian libatkan 'akses tanpa izin' data peribadi pelanggan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Sep 2020 10:38AM Dikemas Kini : 26 Sep 2020 10:40AM

SINGAPURA: Portal pulangan tunai online ShopBack menyatakan ia menjalankan siasatan selepas dimaklumkan tentang satu kejadian melibatkan "akses tanpa kebenaran" kepada sistem-sistemnya yang mengandungi data peribadi para pelanggan.

Dalam satu emel yang dihantar kepada para pelanggan pada Jumaat (25 Sep) dan dilihat oleh Mediacorp, ShopBack menyatakan ia kini sedang mengesahkan apakah data yang terjejas.

"Setakat ini, kami tidak ada sebab untuk percaya mana-mana data peribadi anda disalah guna, namun kemungkinannya tetap wujud," menurut syarikat berpangkalan di Singapura itu.

Baki pulangan tunai atau baucar yang tidak digunakan juga turut tidak terjejas oleh kejadian itu, menurut ShopBack dalam laman FAQ pada aplikasi mudah alihnya.

"Kad-kad kredit anda selamat kerana kami tidak menyimpan nombor kad 16 angka atau CVV dalam mana-mana sistem kami," tambahnya.

ShopBack menyatakan para pelanggan masih boleh terus mengakses akaun mereka kerana operasi perniagaan tidak terjejas.

Namun, syarikat itu menggalakkan para pelanggan untuk menukar kata kunci mereka sebagai langkah berjaga-jaga, meskipun kata kunci sedia ada disulitkan.

"BERITA TIMBULKAN KEPRIHATINAN"

Dalam laman FAQ, ShopBack menyatakan selain dari alamat e-mel dan "maklumat urus niaga terhad", syarikat itu tidak mempunyai data tambahan yang tidak diberikan secara langsung oleh para pelanggan.

Jenis-jenis data yang mungkin disediakan kepada ShopBack termasuk nama, maklumat untuk dihubungi, jantina, tarikh lahir, nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank.

"Sebaik sahaja kami menyedari tentang isu itu, akses tanpa izin itu dibatalkan," menurut syarikat itu.

"Kami dengan segera menjalankan siasatan dan mendapatkan khidmat pakar keselamatan siber untuk menilai tahap kejadian dan untuk mempertingkatkan lagi langkah keselamatan kami," kata ShopBack sambil menambah ia juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkenaan.

Syarikat itu juga mengetatkan pemantauan log dalaman bagi "memastikan pengesanan dipertingkat bagi akses yang tidak dibenarkan jika sebarang kejadian berlaku", jelas syarikat itu.

"Kami faham bahawa ini adalah berita membimbangkan dan kami benar-benar mohon maaf bagi sebarang kesulitan yang mungkin berlaku," kata syarikat itu.

"Keselamatan dan privasi para pelanggan kami adalah satu keutamaan, dan kami komited untuk sedaya upaya mengambil semua langkah bagi mengurangkan risiko kejadian serupa berlaku di masa hadapan."

Mediacorp telah menghubungi ShopBack untuk bertanya berapa ramai pelanggan yang terjejas oleh kejadian itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan