Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SGX boleh hubungkan penerbit sukuk M'sia dengan pelabur dunia

Penerbit sukuk korporat Malaysia perlu memanfaatkan Bursa Saham Singapura (SGX) untuk menarik pelabur antarabangsa berikutan kedudukannya sebagai hab penyenaraian sekuriti hutang terbesar di Asia.

Anggaran Waktu Membaca:
SGX boleh hubungkan penerbit sukuk M'sia dengan pelabur dunia

Pusat Bursa Saham Singapura. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 27 Jul 2018 08:55AM Dikemas Kini : 27 Jul 2018 08:56AM

KUALA LUMPUR: Penerbit sukuk korporat Malaysia perlu memanfaatkan Bursa Saham Singapura (SGX) untuk menarik pelabur antarabangsa berikutan kedudukannya sebagai hab penyenaraian sekuriti hutang terbesar di Asia.

Ketua Dagangan Pendapatan Tetap SGX, Rehan Ahmad berkata, Malaysia mempunyai kelebihan kerana menerbitkan pelbagai jenis sukuk, yang sesuai dengan selera risiko pelabur berbanding yang diterbitkan ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang kebanyakannya terdiri daripada sukuk kerajaan.

Syarikat Malaysia sudah menggunakan bursa itu untuk menarik lebih banyak pelabur antarabangsa, katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur pada Khamis (27 Jul) selepas membuat penyampaian mengenai pasaran penerbitan hutang Asia yang semakin meningkat.

Antara syarikat yang disenaraikan di bursa berkenaan ialah Khazanah Nasional Bhd, Axiata Group Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby Global Bhd dan RHB Bank.

Encik Rehan berkata, pelabur Malaysia juga menunjukkan lebih banyak minat dalam sukuk yang diterbitkan di pasaran GCC, yang terdiri daripada Arab Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman.

Tahun lalu terbitan sukuk Malaysia bagi pasaran dalam dan luar pesisir meningkat sebanyak 45.3 peratus, mencecah AS$97.9 bilion (S$133.3 bilion), manakala pasaran global dikuasai oleh entiti GCC, yang menerbitkan bon dan sukuk bernilai AS$174.17 bilion (S$237.12 bilion).

"Melihat kepada penerbitan sukuk di GCC, mereka lebih terikat dengan harga minyak dan kebanyakannya dikeluarkan oleh kerajaan," kata Encik Rehan.

Beliau berkata, peserta baru dalam bon Asia yang dilihat dalam tempoh lima tahun yang lalu membuktikan bahawa pelabur antarabangsa mempunyai selera yang lebih tinggi bagi bon Asia berikutan kecairan dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan.

"Kita juga dapat melihat peningkatan aliran rentas sempadan, di mana anggaran pecahan aliran untuk bon Asia berada pada 35 peratus untuk antara Asia, 35 peratus antara Asia dan Kesatuan Eropah dan United Kingdom serta 30 peratus antara Asia dan Amerika," jelasnya.

Bagaimanapun, ketersambungan rentas sempadan masih menjadi masalah dalam pasaran Asia, katanya.

"Kami menyedari ketersambungan adalah satu isu, sebab itu SGX Bond-Trading (SGX-BT) adalah rakan niaga umum yang berada di tengah-tengah perdagangan," tambahnya.

SGX-BT beroperasi sebagai rakan niaga umum pada platformnya yang digelar Bond Pro.

Setakat ini, terdapat lebih daripada 3,100 sekuriti hutang yang disenaraikan di SGX oleh 950 penerbit dari 47 negara, dengan lebih daripada AS$1 trilion (S$1.36 trilion) jumlah tertunggak dalam 19 mata wang yang berbeza, menjadikannya hab penyenaraian sekuriti hutang terbesar di Asia.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan