Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sewa runcit dijangka merosot 4 hingga 14% pada 2020

Sektor runcit adalah antara sektor paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 maka para penganalisis hartanah menjangkakan harga sewa akan merosot antara 4 dengan 14 peratus bagi keseluruhan 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Sewa runcit dijangka merosot 4 hingga 14% pada 2020

Gambar fail pusat beli-belah di Singapura (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 19 Jul 2020 10:45PM Dikemas Kini : 19 Jul 2020 10:48PM

SINGAPURA: Sektor runcit adalah antara sektor paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 maka para penganalisis hartanah menjangkakan harga sewa akan merosot antara 4 dengan 14 peratus bagi keseluruhan 2020.

Sungguhpun begitu, mereka tidak menjangkakan para peruncit akan mengisi ruang-ruang yang dikosongkan terutamanya di pusat-pusat beli-belah di kawasan tengah bandar.

Para pengamat menjangkakan harga sewa di pusat-pusat beli-belah di kawasan seperti Orchard Road akan merosot antara 10 dengan 14 peratus bagi keseluruhan tahun 2020, manakala sewa di pusat beli-belah luar bandar dijangka susut pada kadar lebih perlahan sekitar 4 hingga 5 peratus.

Menurut mereka, pusat beli-belah luar bandar dijangka lebih berdaya tahan semasa kemelesetan kerana biasanya menjual barangan keperluan.

Walaupun data rasmi bagi suku kedua belum dikeluarkan, syarikat perunding cara hartanah Cushman and Wakefield menyatakan dalam satu laporan pada Khamis bahawa sewa runcit di kawasan tengah bandar merosot di pelbagai tempat. Kadar sewa di kawasan bandar, kecuali Orchard, mencatat kemerosotan terbesar sebanyak 3.5 peratus berbanding suku sebelumnya.

Encik Justin Tang, ketua penyelidikan Asia di United First Partners, berkata perangkaan pada suku kedua mungkin lebih rendah sedikit sahaja berbanding suku pertama meskipun tempoh dua bulan pemutus rantaian jangkitan - April dan Mei - berlaku dalam tempoh tersebut.

Ini kerana penyewa yang memutuskan untuk menamatkan sewa selalunya perlu memenuhi tempoh notis tiga bulan dan perlu terus membayar sewa selama tempoh itu.

Selain itu, subsidi Pemerintah dan sewa yang diketepikan mungkin melengahkan penutupan beberapa perniagaan.

Lantas, beliau menjangkakan data rasmi akan mencerminkan keadaan sebenar hanya pada separuh kedua tahun ini.

Para penganalisis bagaimanapun berbeza-beza pendapat tentang sama ada kemerosotan harga sewa akan menarik penyewa baru.

Encik Tang percaya COVID-19 mengubah corak perniagaan runcit di sini memandangkan banyak peruncit terpaksa beralih online.

Encik Sim dari CBRE pula yakin pusat beli-belah fizikal masih relevan kerana pembelian online sering mengambil masa lama terutamanya bagi barangan yang dikirim dari luar negara.

Encik Mak berkata beberapa pusat beli-belah, terutamanya yang dimiliki Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), mungkin mempunyai strategi tertentu berhubung jenis campuran penyewa yang dicari, maka itu tidak akan segera mengambil penyewa baru untuk mengisi kekosongan ruang itu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan