Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Setelah jenis Durian Hajah Hasmah, durian jenis apa lagi yang mahu Johor keluarkan?

Johor sedang mencari baka durian baru, terutama durian kampung di negeri itu, yang berpotensi untuk diketengahkan dan dikomersilkan menerusi Pertandingan Durian Unggul.

Anggaran Waktu Membaca:
Setelah jenis Durian Hajah Hasmah, durian jenis apa lagi yang mahu Johor keluarkan?

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Tosrin Jarvanthi (dua dari kanan) dan Pengarah Pertanian Jabatan Pertanian Negeri Hishamuddin Ahmad (dua dari kiri) di sidang media Ekspo Tani dan Pesta Buah-buahan Negeri Johor 2019. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Jun 2019 08:17PM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 08:22PM

JOHOR BAHRU: Johor sedang mencari baka durian baru, terutama durian kampung di negeri itu, yang berpotensi untuk diketengahkan dan dikomersilkan menerusi Pertandingan Durian Unggul.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata baka durian baru itu juga berpeluang untuk didaftarkan di bawah Senarai Pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan Jabatan Pertanian.

Menurut Encik Tosrin, pertandingan tersebut merupakan pengisian utama dan julung kali diadakan dalam Ekspo Tani dan Pesta Buah-Buahan Negeri Johor 2019 yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini di Padang Awam Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Kampung Abdullah, Segamat.

Beliau menambah setakat ini, terdapat 12 baka durian di Johor yang didaftarkan di bawah Senarai Pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan Jabatan Pertanian.

“Hanya durian dari negeri Johor sahaja yang dibenarkan bertanding dan khusus untuk durian yang belum berdaftar dalam senarai pendaftaran itu. 

“Pencirian durian mestilah menepati ciri-ciri premium yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian. Ia juga perlu ada kualiti dan mutu yang baik,” terang Encik Tosrin kepada pemberita dalam satu sidang media pada Rabu (19 Jun).

Turut hadir ke acara itu ialah Pengarah Pertanian Jabatan Pertanian Negeri Hishamuddin Ahmad.

Antara durian yang popular di Malaysia dan berasal dari Johor adalah Durian Hajah Hasmah ataupun lebih dikenali sebagai Durian IOI.

“Secara tidak langsung jika menemui varieti baru ini, kita dapat menambah koleksi dan baka baru yang berasal dari Johor,” kata Encik Tosrin.

Pemenang pertandingan berpeluang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 (S$327), tempat kedua RM750 (S$245) dan RM500 (S$163) bagi tempat ketiga.

Encik Tosrin berkata Johor merupakan pengeluar durian terbesar di Malaysia diikuti Pahang dan Sarawak dengan keluasan tanaman sehingga 15,630 hektar dan nilai pengeluaran hasil sebanyak 692,464 tan pada 2017.

Menurutnya, Segamat merupakan pengeluar terbesar durian di negeri Johor dengan keluasan tanaman sebanyak 4,372 hektar dan nilai pengeluaran hasil 10,546 tan pada 2017 diikuti Muar, Tangkak serta Batu Pahat. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan