Images
  • keong saik shophouse
    Rumah kedai dipulihara di Keong Saik Road (Gambar: iStock)

Setelah banglo mewah 'GCB', apa lagi jadi buruan pelabur hartanah di sini?

SINGAPURA: Banglo mewah 'Good class bungalow' atau GCB terbukti menjadi aset idaman bagi pelabur hartanah di Singapura, namun ada juga trend penting lain yang patut di perhatikan.

Menurut satu laporan baru oleh List Sotheby’s International Realty, Singapura menyaksikan kegiatan makin rancak dalam kalangan pelabur privet dan dana pelaburan yang membeli koleksi rumah kedai dipulihara dan hotel-hotel butik di bangunan bersejarah sepanjang setahun lalu.

Trend ini dijangka terus meningkat pada 2022, terutamanya dalam kalangan hartawan dengan nilai bersih sangat tinggi atau 'ultra-high-net-worth individuals (UHNWI) ' yang juga secara aktif berebut membeli GCB, kata Simon Monteiro, naib presiden madya List Sotheby’s International Realty.

"Rumah kedai pemuliharaan, hotel butik dan GCB semuanya mempunyai tiga mutu menarik sebagai aset trofi - ia terhad dari segi bekalan, mempunyai nilai sejarah yang hebat dan dilengkapi dengan kisah unik tersendiri," kata Encik Monteiro.

"Ini menarik bagi pelabur yang sangat kaya kerana ketika mereka membeli hartanah bersejarah, mereka sekaligus memiliki secebis sejarah Singapura, kelas aset yang didambakan oleh ramai orang dan dengan itu mempunyai prestij pemilikan yang serupa dengan karya seni yang berharga. Saya juga mempunyai pelabur yang membelinya sebagai aset harta warisan, dengan tujuan untuk mewariskannya kepada generasi akan datang," tambah Encik Monteiro.

Encik Monteiro mengibaratkan memiliki hartanah peninggalan sejarah seperti menganggotai kelab eksklusif di mana bilangan anggotanya terhad dan senarai menunggunya panjang. Disebabkan garis panduan peraturan yang ditetapkan untuk memelihara warisan Singapura, hakikatnya tidak banyak hartanah seperti ini untuk dijual beli.

Menurut laporan Colliers, terdapat sekitar 6,760 rumah kedai yang dipulihara di Singapura. Daripada jumlah tersebut, lebih 60 peratus terletak di kawasan utama Rochor, Outram, Sungai Singapore dan Downtown Core.

Penjualan rumah kedai melonjak tinggi sebanyak 132 peratus dari suku tahun ke suku tahun menjadi S$310 juta pada suku kedua 2021, setelah mencatat penurunan 53.6 peratus suku tahunan pada suku pertama 2021. Ini dipacu oleh permintaan terpendam pada suku terakhir 2020. Ini membawa jumlah penjualan rumah kedai pada separuh pertama 2021 kepada S$444 juta, menurut laporan Colliers.

Dengan lebih dari 25 tahun dalam industri hartanah, Encik Monteiro menyaksikan harga rumah kedai melonjak 680 peratus. Sebuah rumah kedai yang dijual di Duxton Hill pada 2005 diperdagangkan pada harga S$385 setiap kaki persegi (psf) dan pada 2021, rumah kedai yang sama bernilai S$3,000 psf.

Dalam lima tahun kebelakangan ini, harga melambung berkali ganda. Dua rumah kedai di Club Street yang diurus niaga oleh Encik Monteiro mencapai harga rekod S$3,935 psf.

"Berbanding dengan harga semasa untuk pangsapuri di Orchard Road Singapura, di mana harganya boleh mencapai sekitar S$6,500 psf, aset trofi hartanah ini terbukti sebagai pelaburan yang berpotensi lebih menarik," menurut laporan itu.

- CNA/TQ/tq

Top