Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sesetengah perniagaan, badan amal saksikan sedikit impak GST baru terhadap khidmat diimport pada 2020

Kurang sebulan dari sekarang, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas khidmat-khidmat yang diimport.

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah perniagaan, badan amal saksikan sedikit impak GST baru terhadap khidmat diimport pada 2020

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 10 Dec 2019 11:44AM Dikemas Kini : 10 Dec 2019 11:45AM

SINGAPURA: Kurang sebulan dari sekarang, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas khidmat-khidmat yang diimport. Ini meliputi khidmat-khidmat pemasaran dan IT yang diperolehi oleh perniagaan hinggalah wadah-wadah penstriman muzik dan video penstriman yang digunakan oleh pengguna individu di sini.

Perubahan tersebut, "yang akan menyamaratakan pelaksanaan GST untuk semua perkhidmatan yang digunakan di Singapura", pertama kali diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada 2018 dalam ucapannya semasa Belanjawan. Sekarang ini, hanya perkhidmatan oleh pembekal tempatan yang tertakluk kepada GST.

Para pakar berkata mengenakan cukai dari perniagaan ke perniagaan (B2B) dari luar negara hanya akan memberi kesan kepada industri-industri tertentu di sini seperti bank, syarikat insurans dan badan amal. Mereka daripada industri-industri tersebut yang memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp menyatakan tidak menjangkakan kenaikan kos secara ketara.

Bagi GST yang dikenakan ke atas khidmat digital luar negara yang mengutamakan pengguna, juga dipanggil sebagai 'cukai Netflix', masih dipantau sama ada ia akan menjejas saku pengguna individu.

Penyedia luar negara perkhidmatan digital perlu mendaftar bagi GST di bawah sebuah rejim pendaftaran vendor luar negara dan lebih 100 syarikat sudahpun berbuat demikian sebelum perubahan berkuat kuasa pada 1 Januari. Demikian menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Isnin (9 Dis).

ADAKAH PENGGUNA AKAN SAKSIKAN KENAIKAN HARGA?

Gergasi penstriman video Amerika, Netflix, adalah antara syarikat yang berdafar sebagai sebuah vendor luar negara.

Hanya syarikat dengan pendapatan sejagat lebih S$1 juta dan menjual perkhidmatan digital bernilai lebih S$100,000 kepada pengguna di Singapura dalam tempoh 12 bulan dikehendaki melakukan sedemikian.

Syarikat-syarikat berdaftar perlu mengenakan GST apabila menjual perkhidmatan digital kepada pengguna - individu dan perniagaan berdaftar bukan GST - di Singapura mulai Januari 2020.

Perkhidmatan digital adalah khidmat yang disediakan menerusi Internet atau sebuah rangkaian elektronik, menurut IRAS. Selain daripada perkhidmatan penstriman kandungan, ia juga merangkumi kandungan digital boleh dimuat turun seperti aplikasi mudah alih dan program perisian pejabat selain penghosan web serta pengurusan data.

Di bawah keadaan tertentu, pengendali pasaran elektronik juga boleh dianggap sebagai pembekal perkhidmatan digital yang dibuat oleh vendor luar negara yang disenaraikan di platformnya, menurut laman web IRAS.

Para pakar mengatakan ia masih sukar untuk menentukan jika vendor luar negara akan menyalurkan secara automatik caj cukai ke atas pengguna.

KENAIKAN KOS MUDAH DIURUSKAN SESETENGAH FIRMA, BADAN AMAL

Perubahan lain melibatkan perkhidmatan B2B yang kian diperolehi dari luar negara oleh syarikat-syarikat di Singapura. Ini termasuk perkhidmatan-perkhidmatan pemasaran, perakaunan, IT dan pengurusan.

Perniagaan tempatan juga tidak perlu membayar GST bagi perkhidmatan seumpama itu yang diperoleh dari luar negara sekarang.

Namun, bermula 1 Januari ini, mereka perlu membayar GST di bawah sebuah mekanisme caj balikan.

Dengan mekanisme ini, daripada membuat penyedia luar negara mengumpul GST, perniagaan setempat perlu membahu tanggungjawab penyedia mereka itu dan membayar GST kepada penguasa cukai secara langsung bagi perkhidmatan yang diimport, kata ketua GST PwC Singapura, Kor Bing Keong.

Kebanyakan perniagaan tidak akan terjejas kerana mereka layak menerima bayaran balik GST apabila membeli perkhidmatan yang diimport. Ini selagi mereka dianggap sebagai input untuk bekalan barangan dan perkhidmatan yang boleh dicukai.

Menurut para pakar, kesan itu akan dirasai oleh industri-industri tertentu seperti bank, syarikat insurans, syarikat kewangan serta pemaju hartanah campuran dan kediaman.

Ini kerana perkhidmatan seperti bank serta syarikat insurans menjual barangan dan perkhidmatan - pinjaman bank atau perlindungan insurans hayat - yang dikecualikan daripada GST. Ini bererti mereka tidak boleh menuntut bayaran balik GST secara penuh.

KEKALKAN SISTEM CUKAI ADIL

Ketika mengumumkan cukai ke atas perkhidmatan yang diimport semasa Belanjawan 2018, Encik Heng berkata ia bagi memastikan sistem cukai Singapura kekal "adil dan berdaya tahan dalam ekonomi digital".

Perubahan-perubahan tersebut akan "memastikan perkhidmatan yang import dan setempat diberikan layanan sama".

Apabila dikuatkuasakan kelak, cukai dijangkakan menjana sekitar S$90 juta pendapatan cukai setahun, tambah Encik Heng semasa ucapannya ketika membentangkan Belanjawan 2018.   

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan