Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sektor wisata global disasar tumbuh 30.7% tahun ini

Sektor pengembaraan dan pelancongan dunia dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 30.7 peratus tahun ini, didorong terutamanya oleh perbelanjaan di peringkat domestik.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Sektor pengembaraan dan pelancongan dunia dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 30.7 peratus tahun ini, didorong terutamanya oleh perbelanjaan di peringkat domestik.

Menurut Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC), pemulihan sektor tersebut bagaimanapun dijangka kekal perlahan berikutan kekurangan penyelarasan di peringkat antarabangsa, sekatan perjalanan yang ketara serta tahap pemberian vaksin COVID-19 yang masih berkurangan di beberapa bahagian dunia.

“Walaupun ekonomi global dijangka menerima sumbangan dalam bentuk peningkatan sederhana 30.7 peratus daripada aktiviti pengembaraan dan pelancongan bagi tahun ini, jumlah itu hanya mewakili nilai sebanyak AS$1.4 trilion (S$1.9 trilion),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut WTTC, sektor pengembaraan dan pelancongan terbukti menjana hampir AS$9.2 trilion (S$12.4 trilion) kepada ekonomi global pada 2019 namun pandemik pada 2020 telah menyebabkan aktiviti berkaitan hampir terhenti dengan penyusutan sebanyak 49.1 peratus atau menyebabkan kerugian berjumlah hampir AS$4.5 trilion (S$6.1 trilion).

“Pada tahun lalu, WTTC telah mendedahkan kehilangan besar sejumlah 62 juta pekerjaan dalam sektor itu di serata dunia. Jika berdasarkan tahap pemulihan semasa, jumlah pekerjaan itu dijangka meningkat hanya 0.7 peratus tahun ini,” katanya.

Kajian juga menunjukkan sumbangan industri kepada ekonomi global dijangka mencatat peningkatan serupa sebanyak 31.7 peratus tahun ke tahun pada 2022 dengan kadar pemulihan semasa dan potensi pekerjaan meningkat 18 peratus di serata sektor pada tahun depan.

WTTC juga menyarankan kepada pemerintah di serata dunia untuk membenarkan pengembara yang telah mendapat vaksin lengkap untuk melakukan pergerakan secara bebas, tanpa mengambil kira negara asal atau destinasi mereka selain menghapuskan sistem berperingkat yang rumit bagi membolehkan sektor itu dapat menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global serta meningkatkan jumlah pekerjaan.

“Pemerintah-pemerintah dunia juga perlu melaksanakan penyelesaian digital yang membolehkan semua pengembara membuktikan status COVID-19 mereka dengan mudah, sekali gus mempercepatkan proses di sempadan dan mengiktiraf semua vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mana-mana Pihak Berkuasa Kawal Selia Ketat (SRA),” katanya.

Selain itu, WTTC turut mencadangkan supaya satu perjanjian melibatkan semua pihak berwajib diwujudkan dengan menyatakan bahawa perjalanan antarabangsa adalah selamat dan berserta protokol kesihatan dan keselamatan yang dipertingkat.

Menurutnya lagi, data menunjukkan jika semua ketetapan itu dipatuhi sebelum akhir 2021, ini dapat memberi impak besar terhadap ekonomi global dan aspek pekerjaan.

Malah, sumbangan sektor tersebut kepada ekonomi global mampu melonjak sebanyak 37.5 peratus dan mencecah AS$6.4 trilion (S$8.6 trilion) tahun ini berbanding AS$4.7 trilion (S$6.3 trilion) pada 2020.

Menurut WTTC, masih terdapat harapan untuk pemerintah-pemerintah dunia mengembalikan hampir 19 juta pekerjaan sebelum akhir tahun ini sekiranya langkah menarik balik sekatan pergerakan dilaksanakan menerusi kerjasama di peringkat antarabangsa.

“Aliran itu akan berterusan sehingga ke tahun depan apabila sumbangan sektor pengembaraan dan pelancongan kepada ekonomi global dapat mencatat peningkatan 34 peratus tahun ke tahun yang mencecah AS$8.6 trilion (S$11.6 trilion) dan menghampiri angka pada 2019 iaitu tahun rekod bagi sektor itu.

“Pada masa sama, jumlah pekerjaan juga boleh melepasi paras 2019 iaitu meningkat 20.1 peratus tahun ke tahun kepada lebih 349 juta,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan