Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sektor perkilangan, perkhidmatan kurang optimis prospek niaga 6 bulan mendatang

Firma-firma pengilangan dan perkhidmatan di Singapura kurang optimis tentang prospek perniagaan bagi suku kedua 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor perkilangan, perkhidmatan kurang optimis prospek niaga 6 bulan mendatang

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 31 Jul 2019 09:23PM Dikemas Kini : 31 Jul 2019 09:24PM

SINGAPURA: Firma-firma pengilangan dan perkhidmatan di Singapura kurang optimis tentang prospek perniagaan bagi suku kedua 2019.

Ini meskipun terdapat segmen-segmen dalam sektor tersebut yang lebih bersikap optimis dan masih merancang untuk merancakkan pengambilan pekerja.

Demikian menurut dapatan dua tinjauan yang dikeluarkan hari ini (31 Jul).

Tinjauan-tinjauan tersebut, yang meliputi jangkaan perniagaan antara bulan Julai dengan Disember 2019, dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) bagi sektor perkilangan dan Jabatan Statistik (SingStat) bagi perkhidmatan.

Tinjauan EDB dijalankan ke atas 422 syarikat pengilangan dan 94 peratus daipadanya memberikan respons. Tinjauan SingStat pula meliputi sekitar 1,500 firma perkhidmatan.

PERNGILANGAN

Para pengilang tempatan menjangkakan perniagaan kekal lembab bagi tempoh enam bulan mendatang sedang ketegangan perdagangan berlarutan, menurut EDB.

Selain ketegangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat dengan China, sektor itu yang menyumbang kepada kira-kira satu perlima daripada ekonomi negara, juga semakin terkesan akibat pertumbuhan global yang semakin perlahan serta kemerosotan kitaran elektronik global.

Anggaran awal yang dikeluarkan awal bulan ini menunjukkan sektor perkilangan terus menguncup dari tahun ke tahun dalam suku kedua.

Disebabkan itu, Singapura mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling perlahan dalam tempoh sedekad, iaitu 0.1 peratus pada suku kedua.

Tinjauan EDB hari ini menujukkan imbangan bersih terwajar (net weighted balance) 11 peratus pengilang, meramalkan keadaan perniagaan yang suram dalam tempoh enam bulan mendatang. Ini menandakan sentimen memburuk berbanding tempoh sama tahun lalu apabila imbangan bersih terwajar tujuh peratus meramalkan sekitaran perniagaan yang akan bertambah baik.

Imbangan bersih terwajar lazimnya digunakan untuk mencerminkan sentimen perniagaan.

Dalam sektor itu, firma-firma dalam kelompok kimia, elektronik dan kejuruteraan jitu menonjolkan sentimen kurang baik tersebut.

Kelompok kimia bimbang tentang permintaan yang berkurangan dari rantau ini, khususnya China, menurut EDB.

Bagi kelompok kejuruteraan jitu, permintaan yang berkurangan bagi semikonduktor dan peralatan berkaitan semikonduktor serta keadaan tidak menentu disebabkan konflik perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China sudah meliputi sektor teknologi sekali gus menyumbang kepada unjuran lebih lemah.

Sebagai perbandingan, kelompok pengilangan bioperubatan adalah yang paling optimis sedang segmen farmaseutikal menjangkakan permintaan eksport yang lebih tinggi bagi produk-produk biologikal.

PERKHIDMATAN

Dalam masa yang sama, tinjauan SingStat menunjukkan jangkaan perniagaan yang lebih sederhana dalam kalangan firma-firma perkhidmatan di sini, dengan hanya imbangan bersih terwajar dua peratus firma meramalkan sekitaran perniagaan yang lebih baik.

Ini lebih sedikit berbanding sembilan peratus yang dicatat dalam tempoh sama pada tahun lalu, serta empat peratus pada suku sebelum ini, menurut tinjauan terbaru itu.

Segmen yang kurang optimis termasuk perdagangan runcit, perdagangan borong serta industri kewangan dan insurans.

"Para pemborong serta syarikat-syarikat bank dan kewangan menjangkakan konflik antara Amerika Syarikat dengan China akan terus meninggalkan kesan negatif ke atas perniagaan mereka," menurut SingStat.

Dalam pada itu, firma-firma dalam industri penginapan serta khidmat makanan dan minuman lebih menaruh harapan dengan musim cuti hujung tahun yang bakal menjelang.

Para pemilik hotel juga menjangkakan perniagaan akan lebih rancak dengan perlumbaan Formula One yang akan berlangsung dalam bulan September.

Bagi industri maklumat dan perhubungan, firma-firma yang mengendalikan pemprograman komputer serta khidmat-khidmat runding cara dan khidmat laman web dan portal juga meramalkan perniagaan akan bertambah baik pada masa akan datang.

Industri pengangkutan dan penyimpanan, perkapalan serta firma pengangkutan udara, pula menjangkakan peningkatan kargo dan penumpang dalam bulan-bulan mendatang, menurut SingStat.

Ramalan yang pelbagai dalam dua sektor itu juga mencerminkan perbezaan rancangan dalam kalangan perniagaan-perniagaan untuk mengambil pekerja.

Misalnya, firma-firma dalam industri pengilangan umum dan kelompok kejuruteraan jitu, yang terjejas oleh ketegangan perdagangan dan keadaan lain yang tidak menentu di peringkat global, meramalkan jumlah tenaga kerja yang lebih rendah dalam tempoh tiga bulan mendatang.

Sebagai perbandingan, kelompok-kelompok pengilangan bioperubatan dan kejuruteraan pengangkutan menjangkakan lebih banyak pengambilan pekerja dalam tempoh yang sama, menurut EDB.

Dalam sektor perkhidmatan pula, firma-firma dalam industri makanan dan minuman serta penginapan, yang menjangkakan operasi lebih rancak dalam suku ketiga, meramalkan lebih banyak pengambilan pekerja.

Industri hartanah juga meramalkan lebih banyak pengambilan pekerja dalam tempoh tiga bulan mendatang sedang firma-firma pengurusan perumahan, komersil dan hartanah industri menjangkakan permintaan yang lebih tinggi bagi khidmat mereka, menurut SingStat.

Bagaimanapun, perniagaan-perniagaan runcit merancang untuk mengurangkan pengambilan pekerja sedang mereka menjangkakan kadar pusing ganti yang perlahan dalam suku ketiga.

Di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pakar ekonomi juga memberi amaran bahawa pasaran buruh juga akan merasakan kesannya, dengan lebih banyak pemberhentian kerja serta kurang kerja kosong pada masa-masa mendatang.

Perangkaan awal yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia pada minggu lalu menunjukkan kadar pengangguran bagi rakyat Singapura terus meningkat dalam suku kedua sedang rentak pengambilan pekerja semakin perlahan. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan