Images
  • workers sg
    Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Jeremy Long)

Sektor kewangan diramal jana 6,500 pekerjaan pada 2021

SINGAPURA: Prospek pekerjaan untuk sektor kewangan tetap positif, dengan sekitar 6,500 jawatan diramal dijana pada 2021, kata pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Encik Ravi Menon, pada Selasa (4 Mei).

Encik Menon berkata demikian semasa bercakap di sebuah webinar anjuran MAS dan Institut Perbankan dan Kewangan Singapura (IBF) berjudul "Sektor Kewangan yang Diperkasakan Teknologi - Adakah tenaga kerja kita sudah siap?".

Berkongsi hasil tinjauan pekerjaan MAS-IBF, beliau berkata 91 peratus, atau 6,000, pekerjaan tersebut adalah jawatan tetap.

Pertumbuhan pekerjaan dalam sektor kewangan kukuh sejak lima tahun kebelakangan ini dan industri itu terus menambah pekerjaan tahun lalu walaupun pandemik COVID-19 melanda.

Tahun lalu, sementara ekonomi secara keseluruhannya kehilangan 180,000 pekerjaan, sektor tersebut mencatat pertambahan bersih 2,200 jawatan, kongsi Encik Menon.

"Prospek pekerjaan untuk sektor kewangan pada 2021 tetap positif," katanya, sambil menambah bahawa hampir 800 institusi kewangan mengambil bahagian dalam tinjauan yang dijalankan hujung tahun lalu.

Sekitar suku pekerjaan yang ditawarkan adalah dalam jawatan teknologi, sementara suku lagi dalam perbankan pengguna.

"Sangat menggembirakan bahawa 44 peratus daripada 6,500 pekerjaan yang baru dijana terbuka kepada pekerja pertengahan kerjaya dengan pengalaman berkaitan mahupun tidak," katanya.

PERMINTAAN LEBIH KUKUH UNTUK PENGURUS HUBUNGAN

Selain permintaan untuk peranan teknologi, terdapat permintaan kukuh bagi pengurus hubungan, dengan 1,300 jawatan tersedia, kata Encik Menon.

Beralih kepada jawatan teknologi dalam bidang kewangan, Encik Menon berkata teknologi sudah menjadi tunjang dalam cara perkhidmatan kewangan dihasilkan, diedarkan dan digunakan.

Menyenaraikan fungsi pekerjaan yang diperlukan untuk mengembangkan aplikasi kewangan, termasuk penganalisis perniagaan, arkitek sistem dan keselamatan dan pencipta perisian, Encik Menon berkata bahawa banyak kemahiran teknologi yang diperlukan kesuntukan bekalan di Singapura.

KURANG BEKALAN KEMAHIRAN TEKNOLOGI

Tenaga kerja teknologi dalam sektor kewangan Singapura dianggarkan berjumlah 25,000, iaitu 30 peratus lebih banyak berbanding 2014.

Encik Menon mengatakan bahawa lonjakan permintaan bagi jawatan teknologi menguntungkan pekerja Singapura.

"Bahagian warga Singapura dalam pekerjaan teknologi tetap stabil sekitar 35 peratus selama bertahun-tahun," katanya.

"Namun dengan pengembangan tenaga kerja teknologi yang pesat, ini bererti lagi 2,200 pekerjaan teknologi tersedia untuk warga Singapura. Ini adalah peningkatan lebih 30 peratus dalam lima tahun, daripada 6,700 pekerjaan pada 2014 menjadi 8,900 pekerjaan pada 2019."

Bahagian warga Singapura yang memegang jawatan teknologi juga tidak sama rata mengikut jurusan yang berbeza. Warga Singapura membentuk 70 peratus pertumbuhan bersih pekerjaan untuk jurutera keselamatan siber dan pereka UX/UI, dan 50 peratus pertambahan bersih pekerjaan untuk penganalisis data dan saintis data.

"Pada 2019, pertumbuhan bersih pekerjaan dalam jurutera perisian adalah 200, 10 kali lebih banyak berbanding perancang UX/UI. Kurang 20 peratus daripada 200 pekerjaan jurutera perisian ini dipegang warga Singapura."

PERMINTAAN BAKAT TEKNOLOGI AKAN KEKAL

Encik Menon meramalkan bahawa permintaan sektor kewangan untuk bakat teknologi akan berterusan, dengan 2,500 hingga 3,500 pekerjaan seperti itu direka setiap tahun dalam jangka masa sederhana. Dengan 19,000 jawatan teknologi yang belum diisi dalam seluruh ekonomi, bekalan graduan dalam bidang yang berkaitan tidak cukup untuk memenuhi permintaan, katanya.

"Jurang besar antara permintaan dan bekalan pekerja teknologi bererti dua perkara. Satu, kita harus terus bergantung pada warga asing untuk mengisi kekosongan yang semakin meningkat untuk pekerjaan teknologi dalam beberapa tahun akan datang.

"Jika kemasukan mereka disekat secara melampau, daya saing pusat kewangan kita akan terjejas, selain juga prospek menjana pekerjaan baik pada masa depan terutama bagi warga Singapura."

Kedua, Singapura perlu membangunkan bekalan bakat teknologi tempatan yang kukuh, kata Encik Menon. Institusi kewangan sedang bekerjasama dengan sekolah-sekolah, dan melatih individu dari pelbagai latar belakang, katanya.

Apabila institusi kewangan membangunkan fungsi teknologi baru di Singapura, MAS juga bekerjasama dengan pihak institusi untuk memudahkan peralihan kemahiran dari warga asing ke tenaga kerja tempatan. Ia juga melatih dan menempatkan karayawan ke dalam peranan teknologi.

Encik Menon menekankan bahawa teknologi menciptakan lebih banyak pekerjaan berbanding dengan yang digantikannya, namun warga Singapura perlu menggarap kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi jawatan-jawatan itu.

Dalam kalangan 21,000 penambahan bersih pekerjaan sepanjang lima tahun lalu, seperempat pekerjaan adalah dalam bidang teknologi. Meskipun warga Singapura memegang 75 peratus keseluruhan bersih pekerjaan, mereka hanya membentuk 35 peratus pekerjaan teknologi.

"Tidak cukup warga Singapura yang memohon peranan teknologi," katanya. "Sektor kewangan berada di landasan yang tepat untuk mewujudkan banyak pekerjaan baik dalam teknologi dalam beberapa tahun akan datang. Ini menawarkan peluang besar bagi warga Singapura - dengan syarat kita memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk meraih pekerjaan ini."

- CNA/TQ/tq

Top