Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sektor berpaksi eksport dan dagangan dijangka terus kukuh tahun ini

Sektor-sektor yang bergantung kepada eksport dan perdagangan dijangka terus kukuh dalam enam bulan mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sektor-sektor yang bergantung kepada eksport dan perdagangan dijangka terus kukuh dalam enam bulan mendatang.

Bagaimanapun menurut pakar ekonomi Saktiandi Supaat, perkhidmatan domestik dan pelancongan serta penerbangan pula akan tumbuh lebih perlahan. Ini disebabkan faktor-faktor luaran juga sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan pemerintah bagi mengekang penularan COVID-19.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Serantau Kajian Matawang Asing Kumpulan Maybank itu berkata demikian sebagai mengulas ramalan terkini pertumbuhan ekonomi Singapura. Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (11 Ogos) menaikkan kepada antara 6% dengan 7% bagi tahun ini
menyusuli prestasi ekonomi yang "lebih kukuh daripada jangkaan" dalam separuh pertama.

Sebelum ini, ekonomi negara diramalkan berkembang antara 4% dengan 6%.

Semakan itu dibuat setelah ekonomi Singapura tumbuh 14.7% dalam suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ini jauh lebih pesat berbanding pertumbuhan 1.5% pada suku pertama.

SEKTOR EKSPORT YANG RANCAK WUJUDKAN PEKERJAAN

Prestasi sektor-sektor seperti pengilangan, perdagangan borong, elektronik, kejuruteraan khusus dan petrokimia tumbuh lebih rancak dalam suku kedua tahun ini.

Malah, eksport domestik bukan minyak (NODX) diramalkan tumbuh 7-8 peratus tahun ini, iaitu lebih tinggi berbanding ramalan 1-3 peratus sebelum ini.

Menurut Encik Saktiandi sektor-sektor yang bergantung kepada eksport merancakkan pertumbuhan ekonomi dan ini baik kerana ia mewujudkan pekerjaan kepada pekerja-pekerja Singapura.

"Situasi global, pertumbuhan global perlu rancak jadi barang-barang ini seperti elektronik, jentera khusus dan petrokimia memberi pertumbuhan lebih baik, pekerjaan lebih baik untuk pekerja-pekerja Singapura di dalam sektor-sektor tertentu itu," kata beliau.

Encik Saktiandi juga berpendapat sektor-sektor perkhidmatan domestik seperti runcit, F&B, seni, hiburan dan rekreasi akan mula pulih menjelang hujung tahun nanti. Ini kerana lebih banyak kelonggaran dijangkakan terhadap sekatan-sekatan membendung penularan COVID-19.

PELANCONGAN & PENERBANGAN AMBIL MASA PALING LAMA UNTUK PULIH

Bagaimanapun, sektor pelancongan dan penerbangan akan mengambil masa paling lama untuk pulih kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor di luar kawalan.

Ini termasuk penutupan sempadan negara-negara luar yang menghambat kerancakan industri pelancongan dan penerbangan.

Encik Saktiandi bagaimanapun optimis bahawa pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat seperti ujian pengesanan COVID-19 untuk menggantikan tempoh kuarantin wajib bagi pelawat asing serta pembukaan ekonomi Singapura secara bertahap-tahap akan dapat membawa sektor tersebut ke arah rentak pemulihan yang lebih pantas.

"Pembukaan perjalanan antarabangsa jika kita membukanya secara bertahap-tahap pada akhir tahun ini, akan membuka jalan ke arah yang lebih stabil," jelas Encik Saktiandi.

Namun demikian tambah beliau, selagi ekonomi dan Lapangan Terbang Changi serta sektor pelancongan tidak dibuka, adalah agak sukar untuk mengecap pemulihan yang lebih pantas.

EKONOMI SINGAPURA DIJANGKA PULIH SEHINGGA 70% DALAM BEBERAPA TAHUN

Ini kerana menurut beliau, Singapura masih berada dalam senario "start-stop" di mana muncul gangguan-gangguan seperti timbulnya kelompok-kelompok aktif COVID-19 di sini.

Selain itu wujud juga ketidaktentuan keadaan pandemik COVID-19 di luar negara yang boleh berlaku dan ini akan menghambat pemulihan ekonomi.

Secara keseluruhannya, jika tiada hambatan besar, Encik Saktiandi mengganggarkan ekonomi Singapura akan kembali pulih sehingga 70% dalam masa satu hingga tiga tahun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan