Images
  • scoot
    Gambar fail. (Gambar: AFP)

Scoot sambung semula penerbangan timbal balik S'pura-Jeddah mulai 21 Okt

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah Singapura Scoot hari ini (29 Sep) mengumumkan penyambungan semula penerbangan dari Singapura ke Jeddah dan sebaliknya, mulai 21 Oktober 2021.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Scoot menyatakan ia bertujuan memenuhi permintaan orang ramai yang sudah divaksin sepenuhnya dan berminat untuk ke Arab Saudi.

Scoot menambah ia juga bagi mereka yang mahu mengerjakan umrah di Makkah dan Madinah.

Sementara itu di Makkah sendiri, tambahan 25 jalur sudahpun disediakan di Masjidil Haram bagi memberikan keselesaan kepada para jemaah umrah yang semakin ramai dari luar Saudi.

Ini dilakukan bagi memastikan jarak selamat di tengah-tengah pandemik sekarang.

Menurut laporan Arab News, lebih 12,000 visa umrah sudahpun dikeluarkan sejak pihak berkuasa Saudi membuka semula permohonan visa umrah untuk warga asing dari luar negara mulai 10 Ogos lalu.

Malah, kapasiti jemaah umrah yang dibenar mengerjakan ibadah itu kini dinaikkan kepada 70,000 orang sehari.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Saudi, Abdulfattah bin Sulaiman Mashat, mendedahkan kerajaan Saudi menyasarkan sehingga 3.5 juta jemaah umrah sebulan kelak.

Lebih banyak kawasan yang sebelum ini ditutup kini dibuka semula.

Begitu juga tong-tong air zam-zam yang ditiadakan sebelum ini sudah dikembalikan semula.

Para jemaah juga boleh mengambil sendiri air zam-zam dari paip-paip yang disediakan di merata Masjidil Haram. Naskah-naskah Al Quran juga disediakan semula di merata tempat.

- BERITAmediacorp/Agensi berita/AA/fz

Top