Images
  • scoot
    Gambar fail. (Gambar: AFP)

Scoot mansuhkan yuran bayaran pemprosesan; tambang lebih murah buat pelanggan

SINGAPURA: Para penumpang Scoot tidak perlu lagi membuat pembayaran yuran pemprosesan apabila menempah penerbangan melalui sistem online syarikat itu. Demikian diumumkan syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan pada Isnin (23 Sep).

Berkuat kuasa serta-merta, syarikat itu menyatakan pembayaran yuran pemprosesan akan dimansuhkan bagi tempahan yang dibuat secara global menerusi saluran langsung Scoot sekali gus "menawarkan para pelanggan nilai lebih besar".

Para pelanggan Singapura sebelum ini dikenakan yuran S$10 setiap seorang bagi setiap penerbangan untuk pembayaran yang dibuat menerusi kad-kad kredit terpilih serta PayPal.

Misalnya, seorang pelanggan yang menempah penerbangan ulang-alik dari Singapura ke lapangan terbang Narita di Jepun menerusi sebuah penerbangan sambungan di Taipei sebelum ini perlu membayar yuran S$20 jika beliau menggunakan kad kredit atau PayPal. Ini bermakna sebuah keluarga yang mengambil perjalanan sama sedemikian perlu membayar S$80.

Pelanggan yang membayar menerusi Apple Pay dan Google Pay dikenakan yuran S$10 setiap seorang bagi setiap perjalanan sehala manakala mereka yang menggunakan PayNow pula dikenakan yuran S$4 untuk setiap urus niaga.

Yuran pembayaran AXS, yang sebelum ini berharga S$6, sudahpun dimansuhkan bulan lalu.

"Evolusi sistem pembayaran sepanjang beberapa tahun ini, didorong oleh penambahbaikan teknologi, sudahpun membantu dengan ketara untuk membiayai kos berkaitan yang diperlukan bagi menyokong dan mengekalkan prasarana pembayaran," jelas Scoot.

"Untuk berkongsi penjimatan kepada para pelanggan memandangkan kos kami turun, kami sudahpun secara berperingkat mengeluarkan yuran pembayaran pemprosesan di pasaran terpilih sejak Mac 2018. Sekarang, kami sudah bersedia untuk menghapuskannya secara global. Kami berharap ini memberikan nilai yang lebih baik kepada para pelanggan dan lebih banyak alasan mengambil khidmat kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Scoot Lee Lik Hsin.

Scoot, cabang penerbangan kos rendah di bawah Singapore Airlines Group, kini menawarkan pelbagai pilihan pembayaran bagi rangkaiannya merentasi 67 bandar di 17 negara dan wilayah.

Ini termasuk kaedah pembayaran sejagat seperti Apple Pay, kad kredit, Google Pay dan PayPal serta kaedah pembayaran setempat seperti AXS dan PayNow untuk pelanggan di Singapura, POLi untuk pelanggan di Australia serta WeChat Pay dan Alipay buat pelanggan di China.

Pelanggan di Filipina, Jepun serta Vietnam juga boleh membuat pembayaran masing-masing menggunakan DragonPay, Konbini dan Momo. 

- CNA/FZ/fz

Top