Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Saudia lancar pesawat Dreamliner-10 bagi laluan KL-Jeddah

Arab Saudi kini bersedia untuk menerima lebih ramai pelawat dari Malaysia dengan peningkatan khidmat udara antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Saudia lancar pesawat Dreamliner-10 bagi laluan KL-Jeddah

(Gambar: Agensi Berita)

Diterbitkan : 16 Oct 2019 08:01AM Dikemas Kini : 16 Oct 2019 08:02AM

KUALA LUMPUR: Arab Saudi kini bersedia untuk menerima lebih ramai pelawat dari Malaysia dengan peningkatan khidmat udara antara kedua-dua negara.

Bermula Selasa (15 Okt), laluan KUL-Jeddah-KUL kendalian syarikat penerbangan Arab Saudi – Saudia menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner-10.

Dreamliner-10 menggantikan Dreamliner Dash-9 bagi tujuan menambah keupayaan dan juga meningkatkan perkhidmatan penerbangan.

Pada Selasa (15 Okt), pesawat SV 834 diberi penghormatan tradisi menyusuli ketibaan sulung penerbangan lapan jam itu dari Jeddah.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.00 petang, pesawat itu diberi penghormatan tradisi dengan gerbang pancutan air dari pasukan bomba KLIA.

SV 834 mampu menampung seramai 333 penumpang dalam kelas ekonomi dengan 24 tempat duduk dalam kelas perniagaan.

Pesawat yang sama – tetapi dengan kod penerbangan SV835, kemudian berlepas pulang ke Jeddah pada pukul 8.00 malam.

Peningkatan perkhidmatan dari Saudia itu seiring dengan langkah negara itu melonggarkan syarat-syarat kemasukan pelancong asing yang ditetapkan pemerintah Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Ini termasuk membenarkan pengunjung yang bukan mahram berkongsi bilik hotel dan juga syarat pemakaian abaya diketepikan.

Insentif lain termasuk pengenalan `Visa-On Arrival’ (VOA) kepada beberapa negara termasuk Malaysia dan Brunei.

Arab Saudi sedang memasuki fasa perubahan politik, ekonomi dan sosial yang dirancang pemerintah muda negara itu yang bertujuan meluaskan sumber pendapatan dan penjanaan kegiatan ekonomi.

Ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum sebagai sumber pendapatan.

Bagi lapan bulan pertama, Saudia membawa seramai 379,746 penumpang antara Arab Saudi dan Malaysia berbanding 345,852 penumpang pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan