Images
  • phone
    (Gambar: Stephen Nellis/Reuters)

Samsung Electronics akan lancarkan Galaxy Fold pada September berikutan masalah skrin

KOREA SELATAN: Telefon bijak boleh lipat Samsung Electronics Co Ltd, Galaxy Fold, akan dijual mulai September di pasaran-pasaran terpilih selepas pelancarannya dilengahkan akibat masalah skrin awal tahun ini, menurut syarikat itu pada Khamis.

Samsung berharap bahawa telefon bimbit boleh lipat itu akan dapat merangsang penjualan telefon bijak keluaran syarikat itu yang merosot. Bagaimanapun, pelancarannya dihambat kerosakan-kerosakan pada sampel-sampel yang dilaporkan pada April.

Syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu menyatakan dalam satu kenyataan bahawa pihaknya sudah melaksanakan penambah baikan pada telefon bimbit bernilai hampir AS$2,000 (S$2,729) itu dan sedang melaksanakan ujian-ujian terakhir. Perubahan termasuk mengukuhkan engsel yang menurut para pengulas, bermasalah.

Samsung menyifatkan reka bentuk itu sebagai gambaran ciptaan masa depan dalam bahagian pasaran yang belum menghasilkan produk yang menonjol sejak Apple Inc mengeluarkan iPhone pada 2007.

Syarikat pesaing dari China, Huawei Technologies Co Ltd juga mengumumkan telefon boleh lipat, yang dinamakan Mate X, yang dijangka dijual pada September.

Samsung masih lagi berbincang dengan syarikat-syarikat pengedar telefon bimbit di seluruh dunia untuk memutuskan butir-butir tentang penjualan Fold, menurut sumber yang mengikuti perkembangan hal tersebut. 

- Agensi berita/NA/na

Top