Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saham AirAsia, AirAsia X jatuh ekoran dakwaan rasuah

Saham AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd di Bursa Malaysia jatuh dalam dagangan aktif selepas laporan yang mendakwa eksekutif kedua-dua syarikat itu terlibat dalam rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
Saham AirAsia, AirAsia X jatuh ekoran dakwaan rasuah

Gambar fail pesawat AirAsia (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Feb 2020 11:49AM Dikemas Kini : 03 Feb 2020 11:52AM

KUALA LUMPUR: Saham AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd di Bursa Malaysia jatuh dalam dagangan aktif selepas laporan yang mendakwa eksekutif kedua-dua syarikat itu terlibat dalam rasuah.

Pada Isnin (3 Feb) 10.01 pagi, saham AirAsia Group turun 13 sen RM (S$0.043) atau 9.09 peratus kepada RM1.30 (S$0.433) dengan 20.95 juta bertukar tangan, manakala AirAsia X jatuh satu sen RM (S$0.003) atau 7.69 peratus kepada 12 sen RM (S$0.03995) dengan 18.11 juta saham diniagakan.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan semalam menyatakan ia akan meneliti kenyataan fakta dalam kes Regina menentang Airbus SE yang mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

AirAsia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia tidak terlibat dalam sebarang penyiasatan oleh Pejabat Penipuan Serius Britain (SFO) terhadap pengeluar pesawat Eropah, Airbus, ataupun diberikan sebarang peluang untuk menyediakan maklumat atau penjelasan kepada SFO.

Ia merujuk kepada sebuah artikel bertajuk “AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say” dalam beberapa media berkaitan dengan "Deferred Prosecution Agreement" yang dimeterai oleh Airbus SE dan SFO pada 31 Jan, 2020.

Artikel itu mendakwa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus yang menyaksikan salah laku berkaitan penajaan sebuah pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan ke atas kedua-dua syarikat itu dengan menghubungi pihak berkuasa di Britain.  

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan