Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura ungguli AS, Hong Kong sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia

Singapura adalah ekonomi yang paling berdaya saing di dunia berdasarkan ranking tahunan melibatkan 63 ekonomi global. Ranking itu diterbitkan hari ini (29 Mei) oleh kumpulan penyelidikan Pusat Daya Saing Sedunia IMD, yang berpangkalan di Switzerland.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura ungguli AS, Hong Kong sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 29 May 2019 08:20AM Dikemas Kini : 29 May 2019 08:24AM

SINGAPURA: Singapura adalah ekonomi yang paling berdaya saing di dunia berdasarkan ranking tahunan melibatkan 63 ekonomi global. Ranking itu diterbitkan hari ini (29 Mei) oleh kumpulan penyelidikan Pusat Daya Saing Sedunia IMD, yang berpangkalan di Switzerland.

Singapura kembali menduduki tangga teratas buat julung-julung kalinya sejak 2010. Menurut laporan itu, ia dirangsang oleh prasarana teknologi yang lebih canggih, bekalan buruh yang berkemahiran, undang-undang imigresen yang berkesan serta kaedah yang cekap untuk memulakan perniagaan-perniagaan baru.

Singapura menduduki antara lima tangga teratas bagi tiga daripada empat kategori utama yang dinilai iaitu: prestasi ekonomi (tangga kelima), kecekapan pemerintah (tangga ketiga) dan kecekapan perniagaan (tangga kelima). Singapura menduduki tangga keenam bagi kategori keempat, iaitu prasarana.

Sementara itu, Hong Kong adalah satu-satunya ekonomi Asia lain yang turut disenaraikan dalam kalangan 10 ekonomi teratas. Hong Kong menduduki tangga kedua disebabkan oleh pelaksanaan cukai serta dasar-dasar perniagaan yang baik, serta akses kepada pembiayaan perniagaan.

Amerika Syarikat, yang menduduki tangga teratas ranking tersebut pada tahun lalu, bagaimanapun jatuh ke tangga ketiga.

Switzerland dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga keempat dan kelima.

Switzerland naik satu tangga disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan prasarana bermutu tinggi. UAE pula melompat dua tangga untuk menduduki tempat kelima, dirangsang oleh prestasi kukuh dalam bidang kecekapan perniagaan dan pemerintah.

EKONOMI ASIA CATAT PRESTASI BAIK

Ekonomi-ekonomi Asia "muncul sebagai tunjang daya saing" dengan 11 daripada 14 ekonomi sama ada berjaya melompat ke tangga lebih tinggi ataupun mengekalkan kedudukan masing-masing dalam senarai tersebut, menurut laporan itu.

Misalnya, Indonesia (tangga ke-32) melompat 11 tangga - mencatat kemajuan terbesar di rantau ini - dirangsang oleh kecekapan lebih tinggi dalam sektor pemerintah serta mutu prasarana dan perniagaan yang lebih baik.

Thailand (tangga ke-25) naik lima tangga, dirangsang oleh lebih banyak pelaburan secara langsung dari negara-negara asing serta peningkatan pada daya penghasilannya.

Taiwan (tangga ke-16), India (tangga ke-43) dan Filipina (tangga ke-46) mencatat prestasi baik, manakala China (tangga ke-14) dan Korea Selatan (tangga ke-28) jatuh satu tangga.

Sementara itu, tahap daya saing di Eropah, kecuali Switzerland dan Ireland, terjejas teruk di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan