Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura tuan rumah Forum Ekonomi Baru Bloomberg pada Nov

Forum Ekonomi Baru Bloomberg akan diadakan di Singapura dari 16 hingga 19 November ini. Ia akan menghimpunkan para pemimpin perniagaan dan pemerintah serta ahli akademik seantero dunia untuk membincangkan isu-isu yang menjejas ekonomi sejagat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 May 2021 11:16AM Dikemas Kini : 07 May 2021 12:35AM

SINGAPURA: Forum Ekonomi Baru Bloomberg akan diadakan di Singapura dari 16 hingga 19 November ini. Ia akan menghimpunkan para pemimpin perniagaan dan pemerintah serta ahli akademik seantero dunia untuk membincangkan isu-isu yang menjejas ekonomi sejagat.

Persidangan tahunan itu dianjurkan secara maya tahun lalu di tengah-tengah pandemik COVID-19. Persidangan tahun ini akan menghadkan sekitar 400 delegasi bagi menjaga keselamatan para peserta, menurut Bloomberg Media dalam kenyataan medianya pada Khamis (6 Mei).

Singapura menjadi tuan rumah edisi sulung forum tersebut pada 2018.

"Saya berbesar hati Singapura dipilih untuk menghoskan Forum Ekonomi Baru Bloomberg 2021 di mana para pemimpin perniagaan akan berkumpul untuk membincangan isu-isu penting sejagat," kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Kesihatan dan keselamatan kekal sebagai keutamaan nombor satu Singapura dan kami akan bekerjasama rapat dengan pasukan Bloomberg untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk mengalu-alukan kedatangan semua delegasi di sini pada November."

Forum itu adalah satu peluang bagi para delegasi untuk berbincang antara satu sama lain mengenai isu-isu termasuk kesan COVID-19 yang tidak seimbang dan akses sejagat yang tidak sama kepada vaksin, kata pengerusi dan mantan datuk bandar New York City Michael Bloomberg.

"Pandemik telah menunjukkan betapa kita saling berhubung kait dan mengapa kerjasama penting," ujar beliau.

"Kami tidak sabar untuk kembali ke Singapura, salah satu bandar paling inovatif dan tuan rumah kepada forum sulung itu."

Para delegasi akan menyertai sebuah program untuk membangunkan strategi pemulihan sejagat bagi krisis ekonomi paling teruk sejak Perang Dunia Kedua, menurut Bloomberg Media.

"Pertukaran secara bertemu muka di Singapura akan membantu menggariskan keutamaan, idea bengkel dan meneroka senario untuk membawa dunia ke hadapan pada tahun mendatang" menurut syarikat itu. 

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata keputusan Bloomberg untuk menghoskan forum itu di Singapura "menyerlahkan lagi kekuatan daya saing Singapura".

"Untuk mengadakan pertemuan global yang begitu penting agar para peserta dapat dihubungkan secara bermakna, kami perlu lebih daripada sekadar penganjur acara yang cekap dan selamat," kata Encik Chan dalam catatan di Facebook.

"Kita juga harus dapat menyumbangkan modal intelektual dalam perbincangan dan mendapatkan kepercayaan para peserta dengan menjadi pemain yang berprinsip."

Beliau berkata Singapura tidak boleh berpuas hati tetapi tetap berwaspada, mengawasi ancaman COVID-19 yang berubah-ubah dan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan untuk menjaga keselamatan orang ramai.

Forum Ekonomi Baru Bloomberg adalah dalam kalangan persidangan global yang dijangka diadakan di Singapura tahun ini.

Dialog Shangri-La akan diadakan dari 4 hingga 5 Jun ini selepas persidangan pertahanan tahunan itu dibatalkan tahun lalu dek pandemik COVID-19.

Mesyuarat Tahunan Khas Forum Ekonomi Dunia akan diadakan dari 17 hingga 20 Ogos selepas dijadualkan semula dari Mei.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan