Images
  • cbd skyline
    (Gambar: Jeremy Long)

S'pura tidak ambil kesempatan kelonggaran status negara membangun di WTO

SINGAPURA: Singapura tidak mengambil kesempatan ke atas kelonggaran-kelonggaran di bawah peruntukan khas Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) semasa merundingkan perjanjian. Demikian terang Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Sabtu (27 Julai).

Peruntukan-peruntukan khas itu, yang dikenali sebagai Peruntukan Layanan Istimewa dan Berbeza (SDT), memberi hak istimewa kepada negara-negara membangun dan membenarkan negara-negara anggota lain untuk memberi layanan istimewa kepada negara-negara membangun.

Komen MTI itu dibuat menyusuli tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi tekanan kepada WTO supaya mengubah bagaimana ia menentukan status negara-negara membangun. Beliau menarik perhatian bahawa tujuh daripada 10 ekonomi paling mewah di dunia mempunyai status negara membangun.

Ekonomi-ekonomi itu termasuk Singapura, Brunei, Hong Kong, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Status negara membangun dalam WTO membenarkan jangka masa lebih panjang bagi pemerintah-pemerintah untuk melaksanakan komitmen perdagangan bebas dan juga membenarkan negara-negara itu untuk melindungi industri-industri tempatan tertentu serta mengekalkan subisidi.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap MTI mengatakan: "Singapura tidak mengambil kesempatan kelonggaran-kelonggaran yang disediakan di bawah Layanan Khas dan Berbeza (SDT) di WTO semasa merundingkan perjanjian.

"Sebagai contoh kami komited untuk melaksanakan Perjanjian Permudah Dagangan WTO sebaik sahaja ia berkuat kuasa, dan tidak memohon tempoh peralihan."

Jurucakap itu menambah Singapura menyokong penuh peri pentingnya mengemas kini peraturan WTO untuk memastikan pertubuhan itu kekal relevan.

"Kami merupakan rakan-rakan penting dalam perbincangan mengenai pengukuhan dan pengemaskinian WTO. Peranan kami sebagai penganjur bersama Inisiatif Kenyataan Bersama WTO mengenai E-Dagang merupakan salah satu contoh," menurut MTI.

"Kami sedang berhubung dengan rakan-rakan WTO kami, termasuk Amerika Syarikat."

Pentadbiran Trump sudah lama mengadu tentang peraturan WTO yang dikatakan tidak adil terhadap Amerika Syarikat.

Dalam satu memorandum pada Jumaat, Encik Trump mengarahkan seorang Wakil Perdagangan Amerika Syarikat supaya tidak lagi memberi layanan kepada negara-negara itu sebagai negara membangun bagi tujuan keanggotaan WRO, jika tiada "kemajuan besar" ke arah perubahan dicatatkan dalam tempoh 90 hari.

Meskipun kenyataan itu merujuk kepada beberapa ekonomi yang meraih manfaat daripada status negara membangun, ia sebahagian besarnya tertumpu pada China.

Memorandum itu menyatakan hampir dua pertiga negara anggota WTO diberi layanan istimewa dengan mendakwa diri masing-masing sebagai negara membangun, terutama sekali China.

"Amerika Syarikat tidak pernah menerima dakwaan China sebagai negara membangun, dan hampir kesemua penanda ekonomi menafikan dakwaan China," menurut memorandum itu yang turut mengetengahkan bahawa Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara itu merupakan kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat.

"China dan terlalu banyak negara lain terus mengaku sebagai negara membangun, membenarkan negara-negara itu menikmati manfaat status itu dan menuntut komitmen lebih rendah berbanding negara-negara anggota WTO yang lain," bunyi memorandum tersebut.

- CNA/Agensi berita/ZM/zm

Top