Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sedia bantu Asia bina daya bingkas tangani bencana alam

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang membangunkan pasaran bagi sekuriti-sekuriti berkaitan insurans (ILS) sebagai huraian alternatif kepada pembiayaan risiko. Demikian menurut Pemangku Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Rabu (12 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jun 2019 12:43PM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 09:46PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang membangunkan pasaran bagi sekuriti-sekuriti berkaitan insurans (ILS) sebagai huraian alternatif kepada pembiayaan risiko. Demikian menurut Pemangku Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Rabu (12 Jun).

Menurut Encik Heng, langkah tersebut akan membantu mengukuhkan daya bingkas Asia terhadap bencana alam - salah satu daripada tiga cara luas di mana Singapura boleh menyumbang kepada pertumbuhan mampan di rantau ini.

Dua lagi cara lain termasuk menjalin kerjasama bagi peluang-peluang pembangunan prasarana serantau menerusi inisiatif Infrastruktur Asia Singapura dan menggalak pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan mengembangkan sektor kewangan yang mampan.

"Singapura merancang untuk menyumbang kepada pertumbuhan mampan Asia dengan menjadi nadi utama bagi menyalurkan pembiayaan dana ke rantau ini," kata beliau.

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan Singapura, berkata demikian semasa berucap di Pelancaran Pelabur Awam Global Forum Institusi Kewangan dan Pembiayaan Rasmi (OMFIF) yang diadakan di Bursa Singapura. Ini adalah kali pertama pelancaran penerbitan tahunan tersebut diadakan di Asia.

Dalam ucaptamanya, Encik Heng berkata dunia kini mencari satu "keseimbangan mampan baru" setelah meraih pertumbuhan pesat sepanjang tempoh 50 tahun lalu membawa kepada cabaran-cabaran persekitaran yang kian meningkat - seperti kenaikan pada suhu permukaan bumi dan paras air laut.

Menukil anggaran-anggaran oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik, Encik Heng berkata kerugian ekonomi Asia daripada bencana alam serta malapetaka cuaca boleh mencecah AS$160 bilion (S$218 bilion) setahun menjelang 2030.

S'PURA SEBAGAI NADI UTAMA SALURKAN PEMBIAYAAN

Meskipun pertumbuhan pesat dan perbandaran yang dipercepatkan boleh memberi tekanan kepada perkhidmatan awam, prasarana serta persekitaran di Asia, terdapat juga peluang-peluang.

Khususnya, kata Encik Heng, pelaburan dalam sains dan teknologi boleh membuka banyak kemungkinan baru bagi pembangunan mampan. Ini sudahpun berlaku di banyak negara seperti China dan Jepun.

"Bagaimana kami melabur dan bagaimana kami bertindak balas terhadap tekanan-tekanan ini akan menentukan sama ada pertumbuhan Asia adalah mampan," ujar Encik Heng.

Asia juga boleh terus meraih manfaat daripada lebih banyak pelaburan, tambah Encik Heng, sambil menekankan bahawa Singapura boleh menyumbang dengan "berkhidmat sebagai nadi utama bagi menyalurkan pembiayaan ke rantau ini".

Menggariskan bagaimana MAS kini sedang membangunkan pasaran bagi ILS sebagai huraian alternatif kepada pembiayaan risiko, Encik Heng berkata langkah ini akan membantu menangani jurang perlindungan, mempelbagaikan kos bencana alam dan mengurangkan bebanan fiskal ke atas pemerintah.

Pertukaran Analitik Data Bencana Alam juga ditubuhkan untuk menyokong penstrukturan, pemodelan dan pensekuritian urus naga ILS melalui usaha menambah baik mutu data serta mempromosikan piawaian.

Menurut Encik Heng, MAS juga sudahpun memperkenalkan skim geran ILS untuk membiayai kos yang berkaitan dengan menerbitkan bon bencana di Singapura. Bon pertama sedemikian dikeluarkan dari Singapura pada awal tahun ini.

Singapura juga, kata Encik Heng, boleh menyumbang kepada pembangunan mampan Asia menerusi pejabat Infrastruktur Asia yang ditubuhkan pada 2017.

Beliau menambah pejabat tersebut bertujuan membangunkan kedua-dua bekalan dan permintaan bagi projek-projek prasarana yang boleh diterima oleh pihak bank.

Singapura juga kian memperluaskan sektor kewangan mampannya - satu lagi cara di mana ia boleh menyumbang kepada pertumbuhan mampan rantau ini.

MAS, misalnya, sudahpun memupuk pertumbuhan bon-bon mesra alam, sosial dan kemampanan menerusi pengenalan skim Geran Bon Mesra Alam pada 2017. Ia kini diluaskan untuk juga meliputi bon-bon sosial dan kemampanan tahun ini, kata Encik Heng.

"Sejauh ini, lebih S$6 bilion bon mesra alam dikeluarkan di sini dan kami menyasarkan untuk menggandakannya pada masa akan datang," ujar Encik Heng.   

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan