Images
  • singapore skyline
    Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Diane Leow) 

S'pura rancang ambil pinjaman bagi tampung projek prasarana bernilai S$4 bilion

SINGAPURA: Singapura merancang untuk mengambil pinjaman bagi menampung projek-projek prasarana bernilai sekurang-kurangnya S$4 bilion dan boleh digunakan tidak kurang dari 50 tahun.

Itulah antara kriteria yang disarankan Kementerian Kewangan (MOF) semasa membentangkan rang undang-undang Akta Pinjaman Pemerintah bagi Prasarana Penting (SINGA) di Parlimen, siang tadi (5 Apr).

Matlamatnya untuk membolehkan pemerintah membahagikan kos projek-projek prasarana secara adil dan cekap meliputi beberapa generasi.

Hanya projek-projek utama dan bersifat jangka panjang yang dianggap sebagai "prasarana penting negara", layak untuk mengambil pinjaman di bawah Akta SINGA.

Projek-projek itu perlu dimiliki pemerintah dan dikendalikan sepenuhnya oleh pemerintah atau bagi pihaknya.

Selain itu projek-projek prasarana itu mestilah penting untuk kepentingan negara seperti merangsang daya penghasilan atau kemampanan ekonomi, sekitaran serta sosial.

Sejauh ini pembinaan laluan baru kereta api membentuk sebahagian besar daripada projek-projek sedemikian.

Pembiayaan juga diperlukan bagi membina beberapa lebuh raya utama serta dan penyesuaian kepada perubahan iklim.

Bagaimanapun, pemerintah tidak boleh mendapatkan pinjaman melebihi S$90 bilion di bawah SINGA.

Bagi mengurangkan beban kepada generasi-generasi masa depan, ia juga akan berhenti mengambil pinjaman jika kos faedah bagi tahun kewangan sebelumnya sudah mencecah S$5 bilion. 

- CNA/AI/na

Top