Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura naikkan ramalan perdagangan sedang eksport bukan minyak tumbuh 10.1% pada suku ke-2

Singapura menaikkan ramalan perdagangannya pada Rabu (11 Ogos) di tengah-tengah pertumbuhan yang lebih baik daripada yang dijangka pada suku kedua 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura naikkan ramalan perdagangan sedang eksport bukan minyak tumbuh 10.1% pada suku ke-2

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 11 Aug 2021 02:04PM Dikemas Kini : 11 Aug 2021 02:10PM

SINGAPURA: Singapura menaikkan ramalan perdagangannya pada Rabu (11 Ogos) di tengah-tengah pertumbuhan yang lebih baik daripada yang dijangka pada suku kedua 2021.

Ini didorong oleh pertumbuhan baik bagi sektor-sektor tertentu seperti dalam bidang elektronik, petrokimia dan jentera khas, serta harga minyak yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan, menurut Enterprise Singapore (ESG) dalam semakannya.

Eksport domestik bukan minyak (NODX) dijangka meningkat tujuh peratus hingga lapan peratus, lebih tinggi daripada ramalan satu peratus hingga tiga peratus yang diumumkan pada Mei.

ESG turut meningkatkan unjurannya bagi keseluruhan perdagangan barangan - dinaikkan kepada 13 hingga 14 peratus dari tahun ke tahun, berbanding ramalan asal lima peratus hingga tujuh peratus.

Data ESG juga menunjukkan bahawa NODX tumbuh 10.1 peratus pada suku kedua 2021 dari tahun ke tahun, menyusuli kenaikan 9.7 peratus pada suku sebelumnya. Pertumbuhan itu dipacu terutamanya oleh sektor bukan elektronik seperti mesin khas, petrokimia dan bahan kimia asas.

Kelompok elektronik juga berkembang untuk suku kelima berturut-turut, dedah ESG. Eksport domestik produk elektronik meningkat 15.7 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh komputer peribadi, litar bersepadu, dan diod serta transistor.

NODX ke pasaran teratas secara keseluruhan meningkat pada suku kedua tahun ini, meskipun eksport ke Amerika Syarikat, Jepun dan EU 27 surut. Penyumbang terbesar pertumbuhan NODX adalah China, Hong Kong dan Taiwan.

Dalam semakannya, ESG juga menyatakan bahawa jumlah perdagangan barangan melonjak 27.3 peratus pada suku kedua 2021, berbanding pertumbuhan 4.9 peratus pada suku sebelumnya.

Perdagangan bukan minyak pula tumbuh 18.9 peratus sementara perdagangan minyak melonjak 98.4 peratus di tengah-tengah harga minyak yang lebih tinggi daripada tahun lalu, satu perubahan daripada kemerosotan sebelum ini.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku tahun ke suku tahun, jumlah perdagangan barangan naik 3.1 peratus pada suku kedua 2021, setelah pertumbuhan 14.7 peratus pada suku sebelumnya. Perdagangan minyak dan bukan minyak masing-masing meningkat 15.1 peratus dan 1.1 peratus.

Hari ini, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menaikkan ramalan pertumbuhan GDP negara untuk tahun ini menjadi enam hingga tujuh peratus, dinaikkan daripada empat hingga enam peratus.

Ini berdasarkan prestasi ekonomi Singapura yang "lebih baik daripada yang dijangkakan" pada separuh pertama tahun ini, serta perkembangan terkini ekonomi luaran dan domestik, jelas kementerian itu.

Ekonomi Singapura tumbuh 14.7 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua 2021, pada rentak lebih pantas berbanding pertumbuhan 1.5 peratus pada suku sebelumnya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan