Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

S'pura meski bukan anggota OIC tetap antara destinasi mesra Muslim 9 tahun berturut-turut

Singapura kekal sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim dalam kalangan negara-negara bukan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) buat sembilan tahun berturut-turut.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura meski bukan anggota OIC tetap antara destinasi mesra Muslim 9 tahun berturut-turut

Gambar hiasan kawasan Kampong Gelam. (Gambar fail: TODAY)

BERITAmediacorp: Singapura kekal sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim dalam kalangan negara-negara bukan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) buat sembilan tahun berturut-turut.

Singapura juga menduduki tangga ke-10 dalam keseluruhan Indeks Pelancongan Muslim Global Mastercard-CrescentRating (GMTI) 2019, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (11 Apr).

Ranking GMTI 2019 melibatkan 130 destinasi di merata dunia, baik dalam kalangan negara anggota mahupun di luar OIC. Buat julung-julung kalinya, Indonesia dan Malaysia mengongsi tangga pertama dalam senarai itu.

Singapura juga menduduki tangga ketiga dari segi komunikasi bagi mendampingi para pelancong Muslim, selain mencatat markah tertinggi kerana mempunyai persekitaran yang mampan bagi menyokong golongan pelancong tersebut - iaitu mempunyai persekitaran yang selamat dan tidak menyulitkan mereka untuk beribadah dan terus mengamalkan agama mereka.

Menurut kenyataan itu, Indeks tersebut memantau keteguhan dan pertumbuhan destinasi pelancongan mesra Muslim dalam empat bidang strategik - akses, komunikasi, persekitaran dan khidmat.

GMTI itu merupakan tinjauan utama yang memberikan kilasan wawasan dan data untuk membantu negara-negara, industri pelancongan dan para pelabur untuk mengukur kemajuan sektor pelancongan dan pencapaian sesebuah negara dalam memenuhi keperluan para pelancong Muslim.

Mastercard dan CrescentRating menyatakan sektor pelancongan Halal dijangka menyumbang sehingga AS$300 bilion (S$407 bilion) kepada ekonomi sejagat menjelang 2026 - melonjak 35 peratus berbanding AS$220 bilion (S$298 bilion) menjelang 2020.

Bilangan pelancong Muslim dari seluruh dunia pula diramal meningkat kepada 230 juta, membentuk hampir 10 peratus daripada jumlah pelancong dunia.

NEGARA ASIA KUASAI DESTINASI MESRA MUSLIM BUKAN OIC

Singapura, Thailand, United Kingdom, Jepun dan Thailand adalah antara negara-negara bukan OIC yang mengekalkan lima tangga teratas dalam senarai itu, malah meningkatkan lagi markah masing-masing dalam Indeks tersebut.

Buat pertama kalinya juga, Korea Selatan dan Filipina menduduki 10 tangga teratas bagi destinasi bukan OIC, mendahului Jerman dan Australia.

Sepanyol turut dimasukkan dalam 10 tangga teratas bagi destinasi bukan OIC, sebagai destinasi utama mesra Halal di Eropah tahun ini.

INDONESIA, M'SIA DESTINASI PALING MESRA MUSLIM

Indonesia menduduki tangga pertama dalam Indeks itu, menerusi usaha berterusan Kementerian Pelancongan negara itu untuk melabur dalam industri pelancongan dan pengembaraan, serta membangunkan infrastruktur mesra pelancong Muslim.

Indonesia naik dari tangga kedua dan kini mengongsi tangga pertama dengan Malaysia, mencatat markah 78 dalam Indeks tersebut.

Negara-negara OIC yang kekal popular dalam kalangan pelancongan Muslim termasuk Turki, Arab Saudi, Maghribi, Oman dan Brunei.

HALAL TRAVEL 2.0

Pasaran pelancongan Halal sudah menjalani perubahan-perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perniagaan, hotel dan pengendali pelancongan menyediakan pelbagai khidmat bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim menerusi Halal Travel 1.0 sejak awal dekad ini.

Halal Travel 2.0 pula memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan, realiti tambahan dan realiti maya bagi mendampingi para pelancong Muslim dengan lebih baik dalam era digital.

"Sedang pasaran pelancongan Muslim terus berkembang dan berubah, kami yakin bahawa laporan ini dan laporan 'Halal Travel Frontier 2019' yang dikeluarkan pada awal tahun ini akan membuka laluan kepada fasa pertumbuhan seterusnya dalam segmen pelancongan unik - Halal Travel 2.0," kata Fazal Bahardeen, CEO CrescentRating dan HalalTrip.  

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan