Images
  • singapore skyline
    Gambar fail: Diane Leow

S'pura lebih sedia tangani kemelesetan ekonomi jika keadaan tambah buruk

BERITAmediacorp: Singapura dan negara-negara serantau sudah bersedia untuk lebih cekap menangani kemelesetan ekonomi sekiranya keadaan bertambah buruk.

Ini hasil sikap berhemah dari segi kewangan negara, keprihatinan bank pusat (MAS) terhadap kecairan kewangan dan sentimen perniagaan serta rakyat yang lebih memahami pentingnya peningkatan kemahiran.

Anggota Parlimen, Saktiandi Supaat semasa ditemui BERITAmediacorp semalam (12 Jul) berkata demikian menyusuli perangkaan ekonomi Singapura yang tumbuh hanya 0.1 peratus pada suku kedua tahun ini.


Beliau juga meramalkan kelembapan ekonomi itu akan berlarutan mungkin hanya sehingga hujung tahun ini sebelum ia kembali pulih.

"Banyak firma seperti di Singapura dan di Asia Tenggara mempunyai satu ekonomi yang begitu terbuka sekali. Jadi nadi kita adalah berteraskan perdagangan global kerana banyak jual beli datang terus melalui negara-negara terbuka ini. Jadi jika perdagangan global merudum, kesannya boleh terasa di negara-negara ekonomi terbuka, seperti Singapura," kata Encik Saktiandi.

Beliau menambah bahawa tiada sektor yang tidak terjejas dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan sekarang.

MEMBIMBANGKAN JIKA EKONOMI TERUS TUMBUH PERLAHAN SUKU 3 & 4

Encik Saktiandi, yang juga Naib Presiden Eksekutif bagi Pasaran Global, Ketua Kajian Tukaran Asing Maybank, menambah sekiranya pertumbuhan pada suku ketiga dan keempat terus merudum ia agak membimbangkan.

"Kesannya adalah dari segi sentimen. Sama ada pemilik-pemilik bisnes, firma-firma, korporat-korporat akan lebih berhati-hati tentang apa yang mereka ingin belanjakan, dari segi pelaburan, dari segi perbelanjaan untuk meningkatkan keupayaan firma mereka atau di dalam industri mereka," jelas beliau.


Apabila ditanya apakah kesannya ke atas rakyat Singapura secara amnya, Encik Saktiandi berkata buat masa ini ia tidak menjejas teruk seperti sewaktu berlakunya krisis kewangan global pada 2008, sehingga melibatkan pembuangan kerja.

"Negara-negara Asia termasuk Singapura sekarang mempunyai kehebatan dari segi kekuatan dari segi rizab dalam dunia fiskal. Jadi mungkin ada pelbagai langkah jika keadaan senario paling buruk berlaku. Kita sekarang mempunyai platform yang lebih baik untuk menanganinya. Jadi impaknya mungkin kepada industri-industri tertentu dahulu," ujar AP GRC Bishan-Toa Payoh itu.


MANFAATKAN PROGRAM PENINGKATAN DIRI

Sementara itu, beliau berharap rakyat Singapura terus berusaha sedaya upaya untuk sentiasa mempertingkat diri mereka bagi memudahkan ikhtiar mereka mencari peluang-peluang lain pada masa-masa akan datang.

"Firma-firma perlu terus melatih pekerja mereka, Program Penukaran Kerjaya oleh MOM juga sesuatu yang bagus. Jika anda diberhentikan kerja disebabkan perubahan dalam industri atau kemelesetan ekonomi, program yang disediakan bagi antara 10 dengan 14 sektor itu amat berguna kerana anda berpeluang untuk ke sektor lain," ujar beliau.

Ini selain berinovasi dan memperkukuh daya saing diri lebih daripada para pekerja daripada negara-negara lain agar dapat meraih manfaatnya sebaik sahaja ekonomi kembali pulih.

- BERITAmediacorp/nk

Top