Images

S'pura kekalkan unjuran GDP 2021 sedang ekonomi kuncup 5.4% tahun lalu

SINGAPURA: Singapura mengekalkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2021 pada paras antara 4 peratus hingga 6 peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (15 Feb).

Ekonomi Singapura menguncup 5.4 peratus pada 2020, sedikit lebih baik berbanding unjuran awal yang menganggarkan penyusutan 5.8 peratus dan menjangkaui julat ramalan Pemerintah yang mengunjurkan antara -6 dengan -6.5 peratus.

Sungguhpun demikian, ia adalah penguncupan tahunan pertama Singapura sejak 2001 dan kemelesatan paling teruk sejak Singapura merdeka.

Minggu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata sebahagian besar ekonomi Singapura dijangka akan pulih pada tahun ini tetapi sesetengah sektor - seperti pengangkutan, pelancongan dan penerbangan - mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk bangkit semula.

MTI menyatakan bahawa ia sudah mengambil kira perkembangan pada sekitaran ekonomi global dan domestik sebelum membuat keputusan untuk mengekalkan ramalannya bagi 2021.

Sebagai contoh, kemajuan dicapai dalam bidang penghasilan dan pengedaran vaksin COVID-19 sejak tinjauan ekonomi terakhirnya pada November.

Meskipun kepantasan pengedaran vaksin adalah berbeza-beza, ekonomi-ekonomi maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah mungkin akan mencapai tahap keimunan (imuniti) bagi para penduduk masing-masing sebelum separuh kedua tahun ini, yang jika terlaksana, akan memacu pemulihan ekonomi masing-masing, menurut MTI.

Selain itu, prospek pertumbuhan bagi ekonomi-ekonomi serantau seperti Malaysia dan Indonesia sudah melemah disebabkan oleh jumlah jangkitan yang kembali meningkat baru-baru ini, yang sekali gus mendorong pihak berkuasa untuk menguatkuasakan semula perintah berkurung dan sekatan-sekatan yang lebih ketat.

MTI juga menarik perhatian kepada beberapa ketidakpastian dan risiko yang masih menghambat pertumbuhan ekonomi global.

Ini termasuk ketidakpastian yang ketara di sekitar pandemik dan trajektori pemulihan ekonomi global; risiko berlaku tekanan pada sistem kewangan yang mungkin disebabkan oleh ekonomi yang mengambil masa lebih lama untuk pulih semula dan ketidakpastian geopolitik yang berterusan melibatkan ekonomi-ekonomi utama.

Di peringkat dalam negeri pula, meskipun keadaan COVID-19 terkawal di Singapura dan program vaksinasi pula sedang giat dijalankan, rentak pembukaan semula sempadan kini semakin perlahan disebabkan oleh lonjakan pada kes COVID-19 yang kembali meningkat dan kemunculan varian yang lebih mudah berjangkit, menurut MTI.

Dengan latar belakang luaran dan domestik ini, ekonomi Singapura dijangka akan menyaksikan pemulihan secara bertahap-tahap sepanjang tahun ini, meskipun pertumbuhan ekonomi dijangka tidak sama rata bagi semua sektor, tambah kenyataan MTI itu lagi.

- CNA/NA/na

Top