Images
  • dpm heng semiconductor
    Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat di pembukaan kemudahan baru dan yang diperluaskan Micron Technology di North Coast Drive pada 14 Ogos 2019. 

S'pura dalam kedudukan baik penuhi permintaan sejagat semikonduktor: DPM Heng

SINGAPURA: Singapura mesti membina perhubungan baik, sekitaran properniagaan serta tenaga kerja yang berkemahiran dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Heat berkata ciri-ciri tersebut akan meletakkan Singapura di landasan yang betul bagi memenuhi permintaan sejagat bagi semikonduktor.

Sungguhpun industri tersebut sedang menghadapi kelembapan, permintaan global bagi jangka panjang kekal kukuh.

Berucap di majlis perasmian peluasan kemudahan syarikat semikonduktor Amerika Syarikat, Micron Technology, DPM Heng akur industri semikonduktor berdepan dengan tekanan tahun ini.

Namun, ini tidak menghalang Micron untuk meluaskan kemudahan di Singapura bagi memenuhi permintaan masa depan. Ia akan menyokong pengeluaran mikrocip yang diperlukan bagi teknologi baru.

DPM Heng berkata meskipun industri semikonduktor sejagat menghadapi kelembapan disebabkan ketidaktentuan ekonomi, beliau yakin permintaan akan terus meningkat. Ini didorong oleh kemunculan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian telekom 5G.

Tambah Encik Heng, ramalan terbaru oleh syarikat penyelidikan global 'IHS Markit and Gartner' juga menjangkakan permintaan global akan kembali kepada pertumbuhan pada 2020 dengan pertumbuhan dijangka antara 2 hingga 9 peratus setiap tahun.

Di tengah-tengah ketegangan dagangan Amerika-China, Micron tetap kekal positif dengan prospek masa depan.

Enck Heng menyifatkan pelaburan berbilion dolar Micron sebagai contoh keyakinan berterusan oleh para pelabur global terhadap prospek jangka panjang Singapura.

Industri semikonduktor menggajikan sekitar 35,000 orang di Singapura dan membentuk lebih 7 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura.

Ia adalah salah satu industri terbesar bagi sektor pengilangan.  

- CNA/NU/fz

Top