Images
  • sg aust
    (Gambar: CNA)

S'pura, Australia lancarkan rundingan berhubung perjanjian ekonomi digital

BANGKOK: Singapura dan Australia sedang merundingkan satu perjanjian mengenai ekonomi digital. Ia bagi meneroka peranan data, mewujudkan sekitaran online yang selamat dan meningkatkan perlindungan data peribadi.

Demikian diumumkan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing dan rakan sejawatannya dari Australia, Simon Birmingham di luar mesyuarat Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) di Bangkok hari ini (12 Okt).

Identiti digital, bayaran elektronik dan kecerdasan buatan (AI) merupakan antara bidang kerjasama yang Singapura dan Australia akan usahakan sebagai sebahagian daripada Perjanjian Ekonomi Digital.

Ini menyusuli perbincangan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pada Jun lalu bagi mengukuhkan lagi hubungan ekonomi serta menggalak ketersambungan dua hala.

Dalam satu kenyataan bersama, Encik Chan dan Encik Birmingham menyatakan kerjasama itu akan membantu syarikat-syarikat mengurangkan kos dan memanfaatkan pertumbuhan serantau.

Encik Chan menambah perjanjian dua hala itu akan menambah dimensi baru kepada Kerjasama Strategik yang menyeluruh antara kedua-dua negara.

Encik Birmingham pula menarik perhatian bahawa usaha menghasilkan peraturan boleh menjadi kayu ukur untuk negara-negara lain di rantau ini serta memberi sokongan kepada sistem perdagangan sejagat semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Perbincangan rasmi mengenai Perjanjian Ekonomi Digital itu dijangka bermula tidak lama lagi dan kedua-dua buah negara menyasarkan untuk memuktamadkannya menjelang awal tahun depan. 

- CNA/HK/ha

Top