Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Rupiah jatuh ke paras terendah dalam 20 tahun; S$1 "mungkin" cecah lebih IDR11,000

Rupiah Indonesia jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar Amerika dalam tempoh lebih 20 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Rupiah jatuh ke paras terendah dalam 20 tahun; S$1 "mungkin" cecah lebih IDR11,000

Wang kertas rupiah di sebuah kedai pengurup wang di Jakarta. (Gambar: REUTERS/Darren Whiteside)

BERITAmediacorp: Rupiah Indonesia jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar Amerika dalam tempoh lebih 20 tahun.

Hari ini (4 Sep), mata wang Indonesia itu ditutup pada IDR10,850 berbanding sedolar Singapura.

Pakar kewangan Maybank, Saktiandi Supaat, memberitahu BERITAmediacorp bahawa dolar Singapura mungkin boleh mencecah kadar lebih tinggi, yang belum pernah dilihat sebelum ini, berbanding Rupiah.

"Saya rasa (dolar Singapura) mungkin boleh naik lebih tinggi ke paras yang belum pernah dilihat sebelum ini (berbanding Rupiah). Dalam tempoh lima tahun lalu ia tidak pernah melebihi IDR10,300 dan sekarang ia baru mencecah 10,800. Maka ada risiko ia naik melebihi IDR11,000. Mungkin," kata Encik Saktiandi, yang merupakan Naib Presiden Eksekutif, Pasaran Global, Ketua Kajian dan Strategi Mata Wang Asing Maybank.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp sama ada ini adalah masa yang tepat untuk membeli mata wang Rupiah, Encik Saktiandi berkata:

"Ya. Harga sekarang adalah harga yang baik sebelum mata wang Indonesia distabilkan semula," ujar beliau.

Bagi anda yang ingin tunggu dan lihat sama ada kadarnya akan terus merosot berbanding dolar Singapura, ini komen Encik Saktiadi:

"Saya rasa mereka (yang ingin melakukannya) boleh menunggu sedikit masa lagi.

"Mungkin tunggu sekitar beberapa minggu lagi. Kalau minggu depan tidak naik lagi, mungkin boleh tukar sahaja. Mungkin juga boleh tukar sebahagian terlebih dahulu," ujar Encik Saktiadi.

Punca utama mata wang Rupiah terus melemah dan mencatat kadar paling teruk dalam tempoh 20 tahun itu dikaitkan dengan krisis pasaran kewangan yang melanda Argentina dan Turki.

Kali terakhir Rupiah mencecah kadar terendah berbanding mata wang asing lainnya termasuk dolar Singapura dan Amerika Syarikat, adalah pada tahun 1998 setelah dibelenggu pelbagai krisis ekonomi dan politik.

Menyusuli kejatuhan terbaru mata wang Rupiah, Bank Indonesia menyatakan semalam (3 Sep) bahawa ia akan campur tangan untuk menstabilkan tukaran mata wang asing dan pasaran bon, menurut laporan Reuters.

Encik Saktiandi memberitahu BERITAmediacorp langkah itu bagaimanapun mungkin agak terbatas memandangkan para pelabur asing akan menarik diri.

"(Sebahagian) pelabur mengalami kerugian di Argentina jadi mereka mungkin cenderung menyesuaikan portfolio mereka. Mereka mungkin mahu menarik diri daripada sebarang pasaran yang ada kaitan dengan pasaran membangunkan (Argentina dan Turki). Ini termasuk aset-aset Indonesia," tambah beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan